HWARANG: PEMUDA BUNGA LAMBANG KEWIRAAN KOREA.

Oleh : Ayman Rashdan Wong.

HWARANG: PEMUDA BUNGA LAMBANG KEWIRAAN KOREA

 
“Hwarang: The Poet Youth Warrior” (juga dikenali sebagai “Hwarang: The Begininng”) ialah drama sejarah (“sageuk”) Korea Selatan yang paling ditunggu tahun 2016, dibintangi oleh Park Seo-joon, Go A-ra dan Park Hyung-sik (sebagai Putera/Raja Jinheung). “Hwa” (화) bermaksud bunga manakala “rang” (랑) bermaksud pemuda/ksatria, jadi Hwarang bermaksud pemuda bunga atau ksatria bunga (flower knights). 


Walaupun nama agak feminin tetapi ia bukan drama yang bercerita tentang lelaki-lelaki sotong seperti “Boys Over Flower”. 

Sebaliknya, ia berkisarkan tentang sekumpulan ksatria di zaman kuno Korea yang mempunyai kepahlawanan yang setanding dengan Janissari di Turki Uthmaniyyah dan Bhayangkara di Majapahit. 

Hwarang mempunyai persamaan dengan Samurai di Jepun—selain mahir dalam seni mempertahankan diri, mereka juga mengamalkan tata kehormatan (“bushido”) yang mengandungi nilai-nilai murni seperti kesetiaan, keberanian dan kejujuran.

Riwayat tentang Hwarang ada dicatat dalam kitab-kitab sejarah seperti “Samguk Sagi” (History of the Three Kingdoms) dan “Samguk Yusa” (Memorabilia of the Three Kingdoms) yang berlatarbelakangkan era Samguk (57 Sebelum Masihi hingga 668 Masihi), sebuah era di mana Semenanjung Korea terbahagi kepada tiga buah kerajaan: Goguryeo, Baekje dan Silla. 


Goguryeo paling kuat dari segi ketenteraan manakala Baekje paling maju dari segi ekonomi. Silla paling lemah dan sering ditindas oleh Baekje dan sekutunya Yamato (Jepun).

Keadaan berubah dengan pertabalan Raja Jinheung (540-576) yang muda (mewarisi takhta pada umur 14) tetapi bercita-cita besar untuk menjadikan Silla negara yang hebat. Baginda menubuhkan sebuah pasukan elit yang dianggotai anak-anak muda dari golongan bangsawan. 


Pasukan ini diberi pendidikan sejak usia muda mengenai ilmu bela diri, ilmu ketenteraan, ilmu sastera dan ilmu agama. Jinheung menamakan mereka sebagai “pemuda bunga” kerana sifat fizik dan akhlak mereka yang sempurna ibarat bunga yang mekar, dan juga kerana bunga yang sentiasa menghadap ke arah matahari dilihat sebagai lambang kesetiaan. 

Selain itu bunga yang lemah lembut juga sesuai dengan para Hwarang yang mempunyai amalan mendandani wajah mereka ketika bertempur. Tindakan tersebut adalah untuk memastikan mereka boleh mati dalam penampilan yang terindah. 

Hasil dari sikap sedia berkorban tersebut menjadikan mereka pahlawan yang mempunyai semangat juang yang tinggi.

Hwarang mempunyai akhlak dan disiplin yang tinggi kerana mereka terikat dengan sumpah atau tata perilaku bernama Lima Perintah Kehidupan Keduniaan (“Se-sok O-gye”) yang diambil dari ajaran Konfusianisme dan Buddhisme. Lima prinsip tersebut ialah 


1. kesetiaan kepada raja (“sa-gun i-chung”), 
2. ketaatan kepada ibu bapa (“sa-chin i-hyo”), 
3. kepercayaan di antara teman (“gyo-u i-shin”), 
4. pantang undur dari pertempuran (“im-jeon mu-toe”) dan 
5. pantang mengambil nyawa tanpa alasan (“sal-saeng yu-taek”). 

Tidak seperti ksatria (knight) Eropah zaman pertengahan, Hwarang menjunjung tinggi bakti terhadap raja sebagai matlamat tunggal, tidak tamak terhadap harta rampasan perang malah tidak mencederai rakyat jelata.

Sistem Hwarang telah menghasilkan pelapis pemimpin yang gagah berani dan tinggi budi pekerti. Perwira Hwarang bernama Kim Yu-sin memainkan peranan besar dalam kemunculan Silla sebagai pemenang dalam pertarungan di antara tiga kerajaan. Pada tahun 660 tentera Silla pimipinan Kim Yu-sin mengalahkan tentera pakatan Baekje dan sekutunya Yamato. 


Pada tahun 668 Kim menundukkan Goguryeo dan menyatukan semenanjung Korea, sekali gus mengusir kuasa Jepun dan China keluar dari semenanjung Korea. Etos dan semangat perwiraan Hwarang masih disanjung tinggi oleh masyarakat Korea Selatan dan kerajaan menggunakan ia sebagai lambang patriotisme dan kewiraan. Pangkat keempat dalam darjah bakti kepahlawanan angkatan tentera (“Mugong Hunjang”) dinamakan Hwarang. Dalam seni Taekwondo juga terdapat gerakan yang bernama Hwarang.

Kita boleh gelakkan orang Korea lembut atau tidak cukup “talk, dark, handsome”, tetapi kalau bab-bab menghargai sejarah, kita patut rasa segan dan malu. Berdasarkan bilangan drama tempatan yang menceritakan tokoh-tokoh sejarah, industri seni tanah air jelas sekali ketinggalan dalam aspek pembangunan minat dan kesedaran masyarakat terhadap sejarah bangsa. 


Malah ada di kalangan kita yang menganggap sejarah bangsa ini sesuatu yang “kolot” dan tak “hipster” sedangkan orang Korea menjadikan ia sesuatu yang “cool”. Jumong, Gwanggaeto, Seondeok, Jeong Do-jeon, Sejong, Yi Sun-sin—inilah nama-nama yang telah diabadikan oleh bangsa Korea melalui seni drama dan perfileman. 

Penggiat seni Korea bukan saja berjaya membina jati diri bangsa masyarakat, mereka juga berjaya menjadikan budaya Korea sebagai sumber kuasa negara, dalam pengajian hubungan antarabangsa ia dinamakan sebagai “kuasa lunak” (soft power).

Drama Hwarang akan disiarkan di KBS2 mulai 19 Disember 2016 dan di KBS World mulai 20 Disember 2016.
Previous
Next Post »