JE SUIS ST. PETERSBURG.

Oleh : Ayman Rashdan Wong



JE SUIS ST. PETERSBURG

Stesen tren Metro di St. Petersburg, Rusia diserang. 11 orang maut. Tiada kempen media sosial 'Je Suis St. Petersburg' seperti 'Je Suis Paris', 'je suis' ini, 'je suis' itu.

Media arus perdana tidak menghebohkan sangat kejadian ini. Setakat laporan yang biasa-biasa. Sebabnya mudah: Rusia tidak disukai Barat. 'Barat' di sini merujuk kepada US, UK dan negara-negara yang mengganggotai EU dan NATO. Mereka mempunyai visi geopolitik yang sama, dan Rusia sentiasa dilihat sebagai ancaman kepada visi mereka. Inilah hipokrisi Barat.

Serangan dilakukan ke atas St. Petersburg, ibu kota lama Empayar Rusia dari 1713 hingga 1918. Nama lamanya ialah 'Petrograd', dibina oleh Peter the Great, bapa pemodenan Rusia. Selepas sistem monarki jatuh di Rusia, Vladimir Lenin memindahkan ibu negara Rusia dari Petrograd ke Moscow, kerana Petrograd terlalu dekat dengan Eropah dan mudah terdedah kepada ancaman Eropah Barat. Setelah Lenin meninggal pada 1924, ia dinamakan semula sebagai Leningrad.

Semasa Perang Dunia Kedua, Leningrad dikepung oleh tentera Hitler selama 872 hari. 3.4 juta askar dan penduduk Leningrad mati kebuluran dan kesejukan akibat kepungan tentera Jerman. Namun mereka tidak menyerah kalah, bertahan sehingga diselamatkan oleh tentera dari Moscow.  St. Petersburg menjadi simbol jiwa Rusia yang kental, dibentuk oleh ujian demi ujian ke atas bangsa Rusia dalam sejarah.

Walaupun saya tidak 'romanticize' Rusia sebagai wira menentang US, namun saya menghormati mereka punya 'right to live'. Tindakan agresif Rusia kebelakangan ini semua adalah hasil ditekan oleh US, NATO dan sewaktunya. Ramai di kalangan kita terpedaya dengan propaganda anti-Rusia yang menyifatkannya sebagai musuh orang Islam, tanpa memahami kedinamikan geopolitik disebaliknya. Rusia masih misteri bagi ramai orang. 

Serangan dibuat ketika Vladimir Putin melawat St. Petersburg. Jelas ia satu provokasi terbuka terhadap Putin. Siapakah dalangnya? Ada yang kata jihadis (Caucasus Emirate), ada yang kata pembangkang (demonstrasi anti-Putin sedang berlangsung di Moscow). Tidak kurang juga teori konspirasi yang mengatakan Putin yang merancangnya.

3 April juga menandakan ulang tahun ke-50 penjalinan hubungan antara Malaysia dan Rusia (ketika itu bernama USSR atau Soviet Union). Hubungan Malaysia dan Rusia bermula dengan perjanjian perdagangan yang dimeterai pada 3 April 1967, sebelum Tun Abdul Razak menjejaki Moscow pada Mei 1968 dan menjalin hubungan diplomatik secara rasmi.

Perlukah kita mengucapkan atau buat hastag 'Je Suis St. Petersburg'? Tidak perlu. Orang Rusia mampu mengharunginya.
Previous
Next Post »