Falsafah Politik Liberal.

FALSAFAH POLITIK LIBERAL
Menjadi seorang konservatif bukan penghalang untuk kita membaca dan memahami ideologi dan falsafah politik lain.
Liberalisme misalnya, adalah falsafah politik yang paling disalahfahami.
Di Malaysia, liberal dijadikan sebagai label malah carutan. Maksud liberal dah disamakan dengan "ketiadaan moral" atau "gaya hidup bebas". Tak puasa. Liberal. Tak berdoa sebelum naik kenderaan. Liberal. Minum Starbucks pakai mafla spek hitam beg LV duduk dalam cuaca khatulistiwa. Liberal.
Yang mengaku diri liberal pun tak faham apa itu liberal. Mereka ingat pakai seluar atas paras lutut tayang bulu kaki, hisap vape dekat Jalan Telawi, baca Malaysiadulu dah kira "liberal". Itu "Bangsar Liberal" yang bajet liberal.
Ada yang anggap liberal sebagai kata lawan kepada konservatif. Kalau konservatif tak suka perubahan, maka liberal mahu perubahan. Betul?
Salah. Liberal ada prinsip dia. Liberal pun boleh jadi konservatif kalau nilai dia terancam. Liberal pun boleh menentang perubahan kalau perubahan itu menggugat prinsip dia.
Prinsip atau nilai asas liberal ialah kebebasan individu. Kebebasan individu di sini bukan bermaksud kebebasan untuk buat maksiat seperti yang difahami ramai. Itu "libertine", bukan liberal.
Perkataan liberal berasal dari istilah Latin iaitu "liber" yang bermaksud "free man". Free man ialah individu berdikari yang berharta dan berhak untuk mengundi, berbeza dengan hamba yang tidak boleh memiliki harta dan tiada hak politik. Maka kebebasan ("free-dom" atau "liber-ty") merujuk kepada hak yang dimiliki oleh free man ini.
Ada dua jenis definisi kebebasan: satu ialah "negative freedom", satu lagi ialah "positive freedom".
Negative freedom ialah kebebasan dari sesuatu ("freedom from") manakala positive freedom merujuk kepada kebebasan untuk membuat sesuatu ("freedom to"). Apa bezanya?
Ambil contoh seorang pengemis. Pengemis itu bebas kalau ikut definisi negative freedom. Pengemis bebas selagi dia tak dikacau sesiapa. Biarlah dia mengemis. Kebebasan pengemis terancam kalau ada gengster atau tauke bagitau dia "lu jangan mengemis kat sini". Itu dah melanggari hak mengemis dia (dengan andaian bahawa dia rela hati mengemis).
Tapi pengemis tak bebas kalau ikut definisi positive freedom, biar pun dia mengemis secara rela hati ("free choice"). Kerana dia tak bebas untuk mendapatkan pendidikan, perubatan dan pekerjaan yang dikehendaki. Dia bertindak semata-mata untuk memenuhi keperluan asas. Maka dia bukan free man di bawah definisi positive freedom.
Nampak macam remeh dan tiada beza sangat, tapi definisi kebebasan yang berbeza ini membawa kepada dua aliran liberalisme yang berbeza iaitu liberal klasik ("classical liberalism") dan liberal moden ("modern liberalism" atau "new liberalism").
Liberal klasik mendefinisi kebebasan sebagai negative freedom. Liberal klasik menganggap manusia dah bebas sebelum ada kerajaan. Ancaman kepada kebebasan manusia ini ialah kebebasan orang lain (seperti tindakan merompak, menyamun, membunuh), maka manusia menubuhkan kerajaan untuk melindungi negative freedom, memastikan manusia terus bebas dari orang lain.
Bagi liberal klasik, kerajaan yang ideal ialah sebuah kerajaan yang kecil dan fungsinya terhad kepada menyediakan keselamatan asas. Liberal klasik tak suka kerajaan yang kuat kerana ia akan mengancam negative freedom. Liberal klasik percaya manusia dah diberi keupayaan untuk berfikir dan bertindak secara rasional, jadi kerajaan tak perlu menyibuk dalam hal-hal yang tak berkaitan dengan keselamatan seperti ekonomi.
Justeru, ahli ekonomi liberal klasik seperti Adam Smith menyaran agar kerajaan tidak bercampur tangan dalam ekonomi kerana keputusan ekonomi yang dibuat oleh individu lebih rasional dan lebih memberi manfaat.
Atas pengaruh liberalisme klasik, kerajaan di Barat pada abad ke-19 mula mengurangkan kuasa kerajaan, menggalakkan pasaran bebas, dan melonggarkan syarat mengundi. Tapi ini membawa kepada kesan negatif, antaranya jurang kekayaan yang semakin luas dalam masyarakat.
Liberal moden muncul sebagai pengkritik liberal klasik. Pemikiran liberal moden ini dipelopori oleh Thomas Hill Green dan Leonard T. Hobhouse di UK. Mereka mendefinisi kebebasan sebagai positive freedom. Mereka melihat jurang kekayaan masyarakat sebagai penghalang kepada kebebasan individu yang hakiki. Apa yang bebasnya kalau orang miskin nak pergi klinik tak mampu nak pergi sekolah tak mampu nak makan pun tak mampu? Umpama hidup dalam penjara dunia.
Maka liberal moden mendesak kerajaan untuk menyediakan program kebajikan seperti perumahan, pendidikan dan perubatan percuma bagi mewujudkan positive freedom. Di US, liberalisme moden membawa kepada dasar seperti "New Deal" dan "Great Society" yang bertujuan menghapuskan kemiskinan dan mewujudkan "equal opportunity" melalui "affirmative action". Antara pemikir US yang mempertahankan affirmative action ialah John Rawls. Beliau boleh dikategorikan sebagai liberal moden.
Dalam aspek ekonomi, liberal moden mahu lebih banyak campur tangan kerajaan berbanding liberal klasik. Liberal moden cenderung kepada ekonomi Keynesian yang memberi lebih banyak kuasa kepada kerajaan dalam soal ekonomi.
Selepas Perang Dunia Kedua (WW2), muncul pula aliran liberal ketiga iaitu "neoliberal". Neoliberal berasal dari dua think tank bernama Walter Lippmann Colloquium (WLC) dan Mont Pelerin Society (MPS). Mereka mengkritik liberal moden, melihat kuasa kerajaan yang semakin berkembang akan melahirkan kerajaan autoritarian seperti Nazi. Sebab masa tu WW2 baru habis, jadi ramai yang masih fobia dengan Nazi.
Pemikir WLC dan MPS mendakwa mereka menghidupkan kembali liberalisme klasik, tapi pemikiran mereka ada beza dengan liberalisme klasik, jadi mereka dinamakan sebagai neoliberal.
Di kalangan neoliberal ada banyak mazhab, antaranya seperti "ordoliberal" dan "libertarian". Mereka mendukung ekonomi pasaran bebas penuh ("laissez faire"), jauh lebih ekstrim daripada liberal klasik. Misalnya, ahli ekonomi liberal klasik seperti Adam Smith masih melihat pengutipan cukai itu fungsi kerajaan yang sah. Tapi sampai dekat neoliberal, mereka menghukum cukai sebagai haram. "Tax is theft", kata seorang pemikir libertarian bernama Murray Rothbard.
Di US dan Canada, kedua-dua istilah "liberal" dan "conservative" merujuk kepada liberal. Liberal merujuk kepada liberal moden manakala conservative merujuk kepada liberal klasik. Ini kerana liberalisme klasik telah pun jadi falsafah politik rasmi US semasa US ditubuhkan. Hak "Life, Liberty and the Pursuit of Happiness" yang termaktub dalam Pengisytiharan Kemederkaan US tahun 1776 adalah dipetik dari John Locke punya "Life, Liberty and Property". Maka, conservative bermaksud mereka yang mempertahankan liberalisme klasik. Liberal moden bernaung di bawah parti Democrat manakala liberal klasik dan neoliberal bersarang di parti Republican.
Disebabkan parti sosialis tak popular di US dan Canada, maka liberal moden dikategorikan sebagai kiri ("left") dalam kancah politik. Berbeza dengan Eropah di mana parti kiri sentiasa merujuk kepada parti sosialis. Di Eropah, liberal moden selalunya dikategorikan sebagai tengah ("centre") manakala neoliberal dikategorikan sebagai kanan ("right").
Orang yang liberal dalam soal politik-ekonomi tak semestinya liberal dalam soal agama dan moral. Tak semestinya dia sokong perkahwinan sama jenis atau murtad. Seorang boleh jadi "political liberal" tapi "social conservative", atau "economic liberal" tapi "political conservative", atau "economic liberal" tapi "social conservative". Jadi, jangan bila dengar orang kata "aku liberal" terus terkejut beruk macam terserempak Syiah dan Yahudi.
Tak kira liberal klasik, liberal moden atau neoliberal, masalah terbesar dalam teori liberalisme ialah bagaimana untuk mengharmonikan kebebasan semua orang. Contohnya kalau kita nak hormati kebebasan orang untuk main mercun, siapa nak hormati kebebasan orang untuk tidak melihat orang bebas main mercun? Dan siapa pulak nak hormati kebebasan orang untuk tidak melihat orang membantah orang lain main mercun?
Ini namanya "Liberal Paradox" yang masih belum diselesaikan oleh pemikir liberalisme.
Ada liberal di Malaysia tak? Ada, tapi sangat sedikit. Jarang jumpa orang yang baca dan perjuangkan idea-idea Locke dan Rawls. Yang lebih ramai ialah golongan acah-acah liberal yang merosakkan nama liberal.
Adakah anda seorang liberal?
(Bahan bacaan yang wajib ditelaah seorang liberal untuk membuktikannya bukan acah-acah liberal): 
John Locke, Second Treatise on Government (1689)
John Stuart Mill, On Liberty (1859)
Leonard T. Hobhouse, Liberalism (1911)
Ludwig von Mises, Liberalism (1927)
Isaiah Berlin, Two Concepts of Liberty (1958)
John Rawls, Political Liberalism (1993)
Previous
Next Post »