Sun Wukong (Raja Monyet) - Antara Mitos Dan Realiti.

Oleh : Firdaus Wong


[Sun Wukong (Raja Monyet): Antara Mitos Dan Realiti]

Cerita dalam novel Journey To The West sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat kita. Kini kisah novel ini sudah banyak diadaptasi ke dalam bentuk filem. Antara watak yang terkenal adalah seekor raja monyet yang bernama Sun Wukong. 

Kisah perjalanan sami cina Xuanzang yang menjadi watak penting perjalanan ke Barat (ke India) merupakan kisah sejarah. Sami Xuanzang hidup sekitar 602-664 M di zaman dinasti Tang. Pada zaman kanak-kanak, nama asal beliau adalah Cheng Yi. Ketika kecil beliau dikatakan seorang yang cerdas dan cepat belajar. Beliau mempelajari kedua-dua aliran Buddha dari aliran Mahayana dan juga Theravada di Vihara Jing Tu dan akhirnya beliau cenderung kepada aliran Mahayana. Setelah itu beliau diberi nama Buddhis iaitu Xuanzang.

Perjalanan beliau ke Barat atau India bertitik tolak dari perasaan ketidak puasan hati beliau terhadap kitab sutra agama Buddha yang beliau pelajari. Beliau dapati terdapat banyak terjemahan yang berbeza ke atas sesebuah sutra, dan kebanyakannya bertentangan antara satu sama lainnya. Hal ini disebabkan kerana penterjemahan kitab Buddha tersebut kebanyakan dilakukan oleh para sami luar dari India atau negeri lainnya. Selain itu, perbezaan aliran dalam agama Buddha juga menjadi isu besar bagi Xuanzang kerana pada awal abad ke-7 M, negara China telah menjadi medan konflik yang besar antara para pengikut Buddha aliran Yogacara, iaitu antara ajaran Yogacara berdasarkan karya Asanga dan ajaran Vasubandhu beserta pengikut aliran Theravada dan Mahayana.[1]

Hasil pertembungan inilah membawa Xuanzang bertekad untuk dapatkan kitab suci agama Buddha (sutra) yang terawal di India yang merupakan tempat kelahiran Siddharta Gautama Buddha dan bertekad mahu mengetahui maksud sebenar dari kitab asal. Beliau mahu menjauhi konflik perbalahan dari sudut penterjemahan kitab suci yang berlaku di negaranya. Dari situlah beliau memulakan perjalanan panjang dengan mengembara ke India seorang diri pada tahun 629 M untuk dapatkan kitab suci yang terawal.[2]

Bermulanya Penulisan Novel

Sekitar 900 tahun selepas kematian Xuanzang terdapat seorang penulis novel dan pemuisi dari China bernama Wu Cheng’en (1500-1582 M) pada dinasti Ming (1368-1644 M) telah menulis sebuah novel perjalanan sami Xuanzang dengan menambah khayalannya ke dalam perjalanan sami tersebut. Novelnya dinamakan His Yu Chi atau Catatan Perjalanan ke Barat. Novel ini diiktiraf sebagai salah satu karya sastera agung di China.

Di dalam novel ini, Wu Cheng’en memperkenalkan beberapa orang pendamping sami Tang Sanzang (Xuanzang) semasa ke India antaranya adalah Sun Wukong iaitu raja monyet yang memiliki tongkat sakti, Tie Pat Kay seorang berwajah babi dan juga Sam Cheng.[3] Ia adalah penambahan karekter untuk menjadikan jalan penceritaan sami Tang lebih menarik.

Wu Cheng’en mengetengahkan watak utama di dalam novel tersebut iaitu Sun Wukong yang merupakan seekor monyet sombong yang kuat. Raja monyet ini sering berdamping dengan sami Tang sehingga mendapatkan kitab Sutra di India. Hasil daripada penulisan novel ini, kisah Sun Wukong mendapat sambutan dari kalangan masyarakat China termasuklah Jepun. Malah watak Son Goku di dalam cerita Dragon Ball juga merupakan pengaruh daripada novel tersebut.

Berlakunya Penyembahan

Setelah sekian lama masa berlalu, akhirnya Sun Wukong disembah oleh orang cina terutama dari aliran Taoisme. Tidak sedikit altar sembahan orang Cina yang memiliki patung Sun Wukong malah terdapat kuil yang dibina khas untuk menyembah raja monyet ini. Pada asalnya Sun Wukong hanyalah watak khayalan yang ditambah oleh Wu Cheng’en di dalam novelnya. Oleh kerana watak itu dipalitkan dengan imej agama dengan membantu sami Tang mengembara lalu watak khayalan itu juga dianggap sebagai sembahan suci lalu dipatungkan dan disembah.

Ada sebahagian sasterawan cina mengatakan watak Sun Wukong ini terpengaruh dari watak Hanuman di dalam kitab suci Ramayana (Hindu) yang merupakan monyet yang menolong Sri Rama. Mereka berspekulasi bahawa tidak mungkin cerita Ramayana terkenal di India itu tidak sampai ke China. Jadi mereka berpandangan pasti akan ada pengaruh Hanuman pada novel Wu Cheng-en itu.[4]

Kesimpulan

Kisah pengembaraan sami Xuanzang dari China ke India merupakan perjalanan sebenar. Akan tetapi novelis Wu Cheng’en menokok tambah perjalanan Xuanzang dengan watak-watak sampingan seperti Sun Wukong untuk menjadikan pejalanan itu menarik.

Akan tetapi hasil daripada itu menyebabkan wujudnya sebahagian Taoist menganggap ia adalah makhluk suci lalu dipahat patungnya lalu disembah. Watak khayalan novel yang diadun dengan unsur agama akhirnya menjadi bahan sembahan pada kemudian hari.

Nota kaki:

[1] Yogacarya-bhumi & Pratityasamutpadadi Vibhangga nirdesa. Lihat Taranatha (2013). Sejarah Buddhisme di India, Penerbit Kadam Choeling, Indonesia hlm 426-428
[2] https://web.archive.org/web/20070221205657/http://www.vbtutor.net/Xiyouji/history.htm
[3] Lihat David Kherdian, Cheng'en Wu (2005). Jorney To The West, Shambhala, Boulder, USA.
[4] Pandangan dari sasterawan Cina Hu Shi dan Ji Xian Lin. Dan boleh lihat http://niasindiainchina.in/2016-01-31/chinese-and-india-monkey-gods-king-and-hanuman/
Previous
Next Post »