Facebooker 'Hilang' Lepas Dedah Anggota D7 Berhibur Dengan Tokei Judi Haram.

Pemilik Facebook yang menggunakan akaun Jia Xing Chen 'hilang dari radar' selepas video yang dikongsikan oleh beliau menjadi kecoh sejak pagi ahad. 

Akaun facebook miliknya tidak lagi dapat diakses sejak pagi tadi. Tidak dapat dipastikan samada beliau menutup akaun facebook tersebut ataupun menyorokkan diri dari pandangan awam.

Semalam individu itu telah berkongsikan rakaman 9 saat yang memaparkan tujuh anggota polis yang didakwa dari anggota D7 telah berhibur bersama tokei judi haram di salah sebuah kelab hiburan yang terletak di Bandar Muar.



Rakaman itu kemudiannya menjadi tular di laman sosial dan mendapat kecaman netizens bertubi-tubi dan PDRM menerima tempias yang hebat akibat kritikan tersebut kerana membabitkan anggota agensi berkenaan. Malahan kebanyakan kritikan juga dilihat memperkecilkan agensi keselamatan tersebut. Ramai di antara mereka memperlekehkan dan mempersendakan intergriti anggota polis.

Dalam satu respon segera, Polis Johor memaklumkan kepada pihak media menerusi satu kenyataan bahawanya kesemua anggota yang terlibat dalam rakaman tersebut telah ditukarkan serta-merta.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, tindakan tukar serta merta itu hanyalah tindakan sementara sambil menunggu tindakan lanjut.

"Pihak Polis Johor terus menjalankan siasatan  tatatertib sebaik sahaja maklumat berkaitan video yang tersebar itu diterima."

"Dalam hal ini, PDRM melihat pelanggaran tatatertib ini tidak boleh dikompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada semua yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan itu.

Beliau dalam pada itu mengingatkan semua anggota PDRM bahawa semua anggota perlu akur kepada kehendak intergriti dalam memartabatkan PDRM selaku penguat kuasa undang-undang utama negara. - SeMbangPress
Previous
Next Post »