Kenali Mid-Autumn Festival - Perayaan Yang Disambut China, Korea & Jepun.

Oleh : Ayman Rashdan Wong

Gambar - Ayman
Mid-Autumn Festival walaupun nampak macam underrated, tapi sebenarnya ia merupakan satu-satunya perayaan yang disambut oleh orang Cina, Korea dan Jepun secara serentak.

Mid-Autumn (Zhongqiu / 中秋) bermaksud pertengahan musim luruh mengikut kalendar Cina iaitu pada 15 haribulan 8. Tahun ini tarikhnya jatuh pada 4 Oktober ikut kalendar Gregorian/Masihi.

Mid-Autumn bukan pesta memakan kuih bulan. Penjenamaan "Mooncake Festival" adalah taktik taukeh kuih bulan nak melariskan produk. Sama seperti orang yang menganjurkan beer fest pakai nama Oktoberfest. Itu namanya menunggang budaya.

Mid-Autumn ni sebenarnya pesta menuai bagi masyarakat petani China, kemudian ia disebarkan kepada Korea, Jepun dan Vietnam, kawasan yang dinamakan sebagai "Sinosphere". 

Di hemisfera utara, orang menuai sekitar bulan September hingga November, jadi Mid-Autumn ni lebih kurang seperti Thanksgiving Day dan Oktoberfest. Semua adalah pesta menuai. 

Walaupun Jepun dah memansuhkan kalendar Cina atau "lunar calendar" (itu sebab Jepun tak sambut Lunar New Year), tapi mereka kekalkan 15 haribulan 8 sebagai sambutan "Jūgoya" (十五夜) yang bermaksud "malam ke-15". Orang Jepun yang berjiwa jiwang menganggap Jūgoya sebagai pesta melihat bulan atau "Tsukimi" (月見), sama seperti pesta melihat bunga ("Hanami") ketika musim bunga dan pesta melihat salji ("Yukimi") ketika musim sejuk. 

Di Korea pula, Mid-Autumn dipanggil "Chuseok" (추석/秋夕). Mereka tak sambut sehari je, tapi cuti 3 hari terus. Ada amalan tarian "Ganggangsullae" (강강술래) yang menari dalam bulatan di bawah bulan. 

Orang Korea dan Jepun tak makan kuih bulan macam orang Cina. Orang Korea makan "songpyeon" (송편), orang Jepun pula makan "tsukimi dango" (月見団子). Tsukimi dango ni selalu dibuat jadi macam bentuk arnab sebab mereka membayangkan lubang-lubang di permukaan bulan sebagai arnab. 

Menarik juga kalau Malaysia buat pesta Mid-Autumn yang menghimpunkan ketiga-tiga cara sambutan Cina, Korea dan Jepun. Kita bukan saja ada kaum Cina malah ada peminat K-Pop dan J-Pop yang ramai, silap-silap ia boleh jadi regional event yang membantu promote tourism.
Previous
Next Post »