Kerja Syif - Realiti Yang Anda Semua Patut Faham.

KERJA SYIF
Kerja syif bukanlah sesuatu yang mudah. Ia melanggar jam biologi yang ditetapkan dalam sistem badan manusia.
Kerja syif adalah hazad pekerjaan yang popular walaupun dipandang enteng oleh sesetengah pihak yang kurang empati. Banyak kajian yang telah dibuat dan ada kemalangan di tempat kerja yang dikaitkan dengan kerja syif.
Ada juga kajian yang mengaitkan faktor genetik dengan keupayaan untuk kerja syif atau 'circadian rhythm' manusia, di mana ia mungkin menjawab persoalan mengapa ada yang mampu bertahan dan ada yang mungkin terlena. Yang mampu bertahan, jangan bongkak.
Kajian berkaitan 'chronotype' iaitu menilai sama ada seseorang itu adalah jenis 'morningness person' atau 'eveningness person' atau 'indifference' juga ada dilakukan. Ada yang boleh tidur waktu siang selepas kerja syif, dan ada juga yang langsung tak boleh.
Ia bukan sesuatu yang mudah.
Kerja syif adalah hazad yang realiti.
Sekiranya sebagai klien anda ternampak staf syif malam tertidur jam 4.05 pagi contohnya di kaunter atau pondok kawalan jaga, kejutkan dia dan maklumkan urusan anda. Saya pasti mereka gembira untuk membantu.
Jam 3-4 pagi adalah antara puncak rasa mengantuk dalam kebanyakan individu dan ia mempunyai hubungkait dengan circadian rhythm. Saat itu, suhu badan adalah pada tahap terendah. Jangan marah mereka kerana ia adalah jam biologi mereka.
Sleeping is real.
Fatigue is real.
Ini belum lagi sentuh bab kerja oncall dan microsleep. Hanya yang pernah bekerja lebih 24 jam berturut-turut yang mampu memahami situasi. Anak bini terabai, penat fizikal, penat mental, malah ada yang kehilangan nyawa dalam perjalanan pulang dari kerja. Yang kerja 8-12 jam pada syif malam pun berisiko menghadapi efek yang sama.
Ia bukan hanya terpakai untuk doktor, jururawat atau dressar, tetapi juga kepada pemandu lori, pemandu bas, operator kilang, pengawal keselamatan dan segala macam jenis pekerjaan lagi. Semua ada situasi sendiri yang perlu sama-sama kita fahami.
Nak atau taknak, kerja syif tetap perlu ada dalam sektor pekerjaan yang kebanyakan perlu beroperasi 24 jam. Tak salah, namun perlulah ada langkah menangani kesan negatif akibat daripada kerja syif.
Belajarlah untuk memahami dan empati. Ini terpakai bukan hanya kepada masyarakat sebagai klien, tetapi juga untuk bos-bos di jawatan lebih tinggi. Fahami situasi staf anda, jangan bertindak hanya dengan 'spinal reflex' sahaja. Bos perlu berperanan sebagai pemangkin membakar motivasi dan membantu mencari intervensi serta solusi.
Kalau bukan kita yang memahami dan empati, siapa lagi?
Mohd Fadhli Mohd Fauzi
Doktor Kesihatan Pekerjaan
11 Januari 2018
Previous
Next Post »