Parti Saya = Islam, Groupthink VS Critical Thinking..

Oleh : Za'im Yusoff
"PARTI SAYA = ISLAM"
1. Ada satu kenyataan empatik lagi simpatetik tentang kenyataan seseorang pemimpin tidak menggambarkan kenyataan sesebuah organisasi.
2. Saya merenung hal ini dan setakat ini kefahaman saya, ada indikator bagaimana hendak melihat sesebuah kenyataan pemimpin sebagai kenyataan peribadi atau gambaran kenyataan organisasi.
3. Sesebuah organisasi dibina dengan adanya pemimpin juga pengikut. Mereka dibina dengan asas kumpulan.
4. Dalam bidang Organizational Behaviour, definisi tuntas bagi kumpulan adalah kebersamaan sekumpulan entiti yang punya matlamat yang sama.
5. Sebab itu, dalam Ready One Player (2018) meskipun Parzival menafikan tidak pernah berkumpulan dengan Art3mis, Aech, Sho dan Daito; namun di akhir cerita mereka tetap dikenali sebagai "The High Five", nama sebuah kumpulan kerana matlamat mereka yang sama dalam sebuah kebersamaan.
6. Apabila wujud perbezaan peranan antara pendokong juga penyokong, maka wujudlah pemimpin juga pengikut. Pemimpin sebagai kepala, dan selainnya sebagaimana tubuh menjadi anggota-anggota jasad yang mengikut.
7. Maka, bagaimana membezakan sesebuah kenyataan pemimpin itu sebagai kenyataan peribadi atau kenyataan organisasi?
8. Pertama, apabila ada penerangan jelas seperti "Pada pandangan saya, Secara peribadi saya berpendirian" mahupun label "Kenyataan Rasmi Persatuan, Kenyataan Media Rasmi Parti".
9. Kedua, lebih kompleks tapi boleh dikenalpasti malah menjadi jawapan kepada diri saya setakat ini.
10. Yakni apabila kenyataan pemimpin disambut oleh para anggota organisasi yang kemudian mengikut - memanjang-manjangkan, menele-nelekan, mengulang-ulang dan seumpama. Ini terpakai bagi kenyataan benar mahupun salah, kenyataan berakhlak mahupun tidak, kenyataan beradab mahupun biadap.
11. Apabila ini terjadi maka kita boleh katakan kenyataan pemimpin itu sebagai gambaran pendirian organisasi lantaran ia sudah menjadi "public statement" yang diterima pemimpin yang berucap, diiktiraf pemimpin-pemimpin lain dalam organisasi yang sama dan tidak dibantah malah disebarkan oleh para pengikut.
12. Sebaliknya, kalau kenyataan sosok pemimpin itu hanya dinyatakan olehnya, tapi dibantah pemimpin-pemimpin lain dalam organisasi yang sama malah dikritik oleh para pengikut, kita katakan ia memang kenyataan peribadi, bukan gambaran kenyataan organisasi.
13. Di sini, bagi budaya yang tidak sihat, kebersamaan bagi kenyataan-kenyataan yang salah boleh membawa kepada gejala Groupthink.
14. Groupthink adalah fenomena psikologi dalam sebuah kumpulan manusia di mana budaya cara berfikir yang sama ("sama kepala", "sama geng") cenderung untuk menghasilkan keputusan-keputusan yang tidak rasional atau tidak berfungsi mengikut kaedah membuat keputusan yang baik. Ya, kerana tiada yang mencabar.
15. Ini membawa kepada antonim kepada Groupthink iaitu Critical Thinking. Critical Thinking sebaliknya adalah analisis objektif tentang fakta-fakta yang ada dalam membentuk sebuah penilaian yang merangkumi asas rasional, unsur skeptikal, analisis tidak bias mahupun penilaian bukti-bukti sahih yang wujud.
13. Jadi nilailah kenyataan "parti saya = Islam"; itu di mana duduk letaknya. Apakah ia kenyataan peribadi pemimpin atau sudah menjadi gambaran kenyataan organisasi? Apakah ia hasil penyuburan budaya Groupthink atau Critical Thinking?
Previous
Next Post »