Sejarah Tan Seng Giaw & PEKEMAS - Zin Mahmud.

Oleh : Zin Mahmud

Kenangan. 1974. Batu Pahat. Dr Tan Seng Giaw bukanlah asal dari Parti Tindakan Demokratik (DAP). Parti asal beliau ialah Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas). Sebab itu ideologi asas beliau bukannya DAP tetapi Pekemas. Aku sedar mengenai Pekemas ialah pada tahun 1974 ketika ia mula ditubuhkan.


Ini kerana Pekemas mempunyai cawangan di Batu Pahat. Pada satu hari aku pergi ke Perpustakaan Awam Batu Pahat yang terletak di Jalan Rahmat. Di seberang jalan itu ada rumah kedai dan di situ, tingkat atas adalah pejabat Pekemas. Lambang Pekemas adalah matahari dengan sinar jalur merah putih dan dilingkungi warna hijau. Macam bentuk bendera tentera Jepun. 


Tetapi matahari terbit itu adalah lambang golongan kiri, sebagai impian dunia baru. Ia selaras dengan ungkapan Fajar Menyingsing. Fajar adalah juga nama majalah Kelab Sosialis Universiti Malaya Singapura. 

Beberapa negara komunis termasuk Soviet Union mempunyai lambang matahari terbit. Tetapi imej matahari terbit ini popular di zaman itu. Malah di Radio Malaysia seringkali menyiarkan lagu patriotik dengan lirik 'Di timur sinar suria mulai terang, cahaya fajar baru.' 

Kini liriknya sudah diubah menjadi lagu nasyid. Akhbar parti Pekemas bernama Matahari. Tetapi jalur merah putih mata hari itu merujuk pada warna bendera Malaysia.

Perkataan Keadilan Masyarakat atau Social Justice adalah nama lain bagi sosialisme. Pekemas adalah parti sosialis. Ia ditubuhkan oleh Dr Tan Chee Khoon yang keluar daripada Gerakan Rakyat Malaysia. 


Kini parti ini dikenali Parti Gerakan. Beliau keluar Gerakan kerana membantah tindakan parti itu menyertai Barisan Nasional. Sebagai parti pecahan Gerakan, Pekemas mempunyai warna serupa, hijau, merah dan putih.

Sebelum menyertai Gerakan, Dr Tan Chee Khoon adalah anggota Parti Buruh. Parti ini bergabung dengan Parti Rakyat untuk menubuhkan pakatan Front Sosialis. Ia dipimpin oleh Ahmad Boestamam, ketua Parti Rakyat.
 

Apabila Parti Buruh dan Front Sosialis terbubar, antara ahlinya bersama bekas ahli MCA menubuhkan Gerakan. Turut menjadi pengasas bersama Gerakan ialah Dr Syed Hussein Al-Attas. 

Beliau kemudian keluar Gerakan setelah berkrisis dengan Lim Chong Eu. Ahmad Boestamam pula keluar Parti Rakyat setelah kalah dalam pemilihan kepada Kassim Ahmad. Beliau kemudian menubuhkan Parti Marhaen. Tetapi kemudian parti dibubarkan.

Ketika Dr Tan Chee Khoon menubuhkan Pekemas, beliau menarik Ahmad Boestamam sebagai salah seorang pemimpin utamanya.


Aku ternampak dan membeli akhbar rasmi Pekemas iaitu Matahari di stesen bas Batu Pahat. Di situ dinyatakan ketua pengarang akhbar itu adalah Ahmad Boestamam. 


Dalam akhbar itu disiarkan ucapan penuh Dr Tan Chee Khoon di Dewan Rakyat membantah Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti yang dibentangkan oleh Menteri Pelajaran, Dr Mahathir Mohamad.

Juga di situ dipaparkan pemimpin muda Pekemas, Dr Tan Seng Giaw yang dilihat akan menjadi pengganti Dr Tan Chee Khoon.


Dr Tan Chee Khoon adalah wakil rakyat Gerakan bagi kawasan Batu. Secara tradisi Batu adalah kawasan Parti Buruh dan Front Sosialis. 


Kemudian kawasan itu diubah dan dipecahkan dengan sebahagiannya menjadi Kepong. Dr Tan Chee Khoon menjadi ahli parlimen bagi Kepong. 


Apabila beliau sakit, Dr Tan Seng Giaw menggantikan beliau sebagai wakil Pekemas bertanding di situ pada tahun 1978 tetapi kalah pada Dr Tan Tiong Hong dari Gerakan. 

Setelah Pekemas bubar, Dr Tan Seng Giaw menyertai DAP dan memenangi Kepong sejak tahun 1982 hinggalah ke hari ini.

Pada tahun-tahun itu aku sering membuat liputan Dewan Rakyat dan aku mendengar ucapan Dr Tan Seng Giaw yang bersuara nyaring. Ada kalanya beliau menulis ucapannya dalam tulisan jawi. 


Oleh itu beliau juga membaca akhbar jawi Utusan Melayu. Aku juga ada kalanya menemui dan bersembang dengannya di lobi Parlimen pada tahun-tahun 1980-an itu.
Previous
Next Post »