Melayu Atheis - Satu Kisah Sejarah.

Oleh : Fahmi Reza
 


MELAYU ATHEIS — SATU KISAH SEJARAH

Kini media sosial kembali hangat dengan isu golongan Melayu atheis yang mengaku murtad dan atheis secara terbuka. Melihat reaksi orang Melayu di Twitter & Facebook yang sangat berakhlak, rasional dan penuh sopan, aku nak kongsikan semula satu kisah sejarah mengenai seorang tokoh Melayu yang pernah mengaku atheis secara terbuka suatu ketika dahulu.

Ini kisah mengenai seorang Melayu atheis bernama Mokhtaruddin Lasso. Dia seorang nasionalis Melayu dari zaman sebelum merdeka. Dia seorang pejuang anti-penjajah. Dan dia tak percaya tuhan.

Mokhtaruddin Lasso dilahirkan pada tahun 1915. Keturunan Minangkabau. Masa zaman perang Jepun, dia berjuang dalam hutan secara gerila, mengangkat senjata untuk melawan fasis Jepun yang menjajah Malaya. Lepas tamat perang, dia jadi pengasas parti politik nasionalis Melayu pertama dalam sejarah.

Pada tahun 1945, Mokhtaruddin Lasso tubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di Ipoh, Perak bersama-sama sahabat dia Ahmad Boestamam (yang kemudian jadi Presiden Parti Rakyat Malaya). PKMM atau nama english mereka Malay Nationalist Party (MNP) adalah parti politik Melayu pertama yang memperjuangkan kemerdekaan Malaya, jauh lebih awal daripada UMNO. Slogan parti PKMM pada waktu itu ialah "Merdeka", berbanding slogan UMNO yang berbunyi "Hidup Melayu".

Ramai yang mungkin lupa, Mokhtaruddin Lasso adalah Presiden (Yang Di Pertua) pertama PKMM pada tahun 1945. Dan Naib Presiden PKMM masa itu ialah tokoh Islam, Dr. Burhanuddin Al-Helmi (yang kemudian jadi Presiden PAS). Macam mana seorang atheis dan seorang Islamis boleh duduk dan bergerak dalam satu parti?

Pada zaman sekarang agak mustahil untuk kita jumpa seorang pemimpin Islam di Malaysia yang mahu duduk di bawah kepimpinan seorang bukan Islam. Tetapi pada zaman dahulu Dr. Burhanuddin dan nasionalis-nasionalis Melayu aliran kiri lain boleh menerima kepimpinan seorang Melayu yang atheis seperti Mokhtaruddin Lasso. Kepercayaan dan agama pemimpin parti mereka tidak dijadikan isu seperti sekarang.

Telah diriwayatkan Mokhtaruddin Lasso juga pernah berdebat dengan Naib Presiden partinya, Dr. Burhanuddin tentang soal kewujudan tuhan. Ahmad Boestamam telah merakamkan satu perbualan antara Mokhtaruddin dan Burhanuddin dalam buku "Dr Burhanuddin: Putera Setia Melayu Raya” (Penerbitan Pustaka Kejora, 1972).

Di bawah ini aku kongsikan seluruh perbualan tersebut yang aku salin dari buku Ahmad Boestamam;

Dr. Burhanuddin, Mokhtaruddin Lasso dan saya berbual-bual di pejabat harian ‘Suara Rakyat’, lidah resmi PKMM yang saya ditugaskan menjadi pengarangnya, di Jalan Brewster.

Sechara tiba2 saya dengar Mokhtaruddin bertanya kepada Dr. Burhanuddin: "Apakah benar Tuhan itu ada, tuan Doktor?"

Pertanyaan ini dikeluarkannya sambil tersenyum.

Saya terperanjat juga mendengarkan pertanyaan itu. Tidak saya duga2. Mungkin, hati saya segera menduga, Mokhtaruddin hendak menguji keteguhan Dr. Burhanuddin berugama.

"Sudah tentu saja Tuhan ada", Dr. Burhanuddin menjawab pendek.

"Benarkah DIA berkuasa?", Mokhtaruddin bertanya lagi.

"Benar", jawab Dr. Burhanuddin.

"Kalau benar DIA berkuasa suruhlah DIA membuat sepasang terompah kayu sekarang dan kalau DIA boleh membuatnya saya akan perchaya Tuhan itu ada dan DIA berkuasa, tetapi tidak sebaliknya", berkata Mokhtaruddin kepada Dr. Burhanuddin.

Saya melihat tepat kemuka Dr. Burhanuddin. Saya mahu memastikan apadia reaksinya kepada pertanyaan ini. Apakah dia akan menjawabnya atau apa?

Tidak shak lagi pertanyaan Mokhtaruddin itu pertanyaan yang hanya boleh datang dari seorang ‘free thinker’, seorang yang tak perchaya adanya Tuhan, seorang komunis, seorang yang bersandar bulat kepada ‘dialectical materialism’.

Dan ini tidak pula memeranjatkan saya. Sebagai seorang bekas pejuang yang menentang Jepun yang berpengkalan dalam hutan Mokhtaruddin tak shak lagi tentu telah bergaul dan seterusnya mengikuti kursus politik komunis yang menjadi pelopor perjuangan melawan Jepun itu.

Kalau pertanyaan yang demikian dihadapkan pada para fanatik ugama atau lebai2 kolot dikampung-kampung kemungkinan Mokhtaruddin dilanyak dan dipukul mereka karena dituduh murtad dan menduakan Tuhan tidak mustahil. Tetapi adakah Dr. Burhanuddin akan bersikap seperti mereka itu juga? Inilah pertanyaan yang mula2 timbul dalam benak saya.

Saya chemas. Hati kechil saya menyesali Mokhtaruddin karena membuat pertanyaan itu.

"Masakanlah patut Tuhan diminta membuat pekerjaan yang remeh seperti membuat terompah kayu itu", Dr. Burhanuddin memberikan jawapannya dengan tenang. Tidak ada tanda marah dalam suaranya sewaktu memberikan jawapan ini.

"Ini tidak bererti Tuhan tidak boleh membuat terompah kayu itu", dia meneruskan kata2nya. "DIA boleh. Kalau alam ini dapat dichiptaNYA kenapa pula perkara mudah dan kechil seperti membuat terompah kayu itu tidak boleh?"

"Kalau seseorang yang pakar dalam ilmu pasti misalnya boleh menjawab masaelah2 yang tinggi dalam ilmu itu dengan mudahnya mustahillah dua kali lima dia tidak tahu. Itu lojik, bukan? Demikianlah ibaratnya Tuhan dengan membuat terompah kayu itu."

"Kalau banyak orang, banyak manusia yang menjadi makhluk Tuhan, sudah boleh membuat terompah kayu belaka kenapakah harus diperlukan juga tenaga Tuhan untuk perkara yang remeh ini? Tidakkah itu sama saja seperti menyuruh seorang ayah mengesat hingus atau menghisap punting sedang bayi2 kechil pun sudah tahu belaka membuatnya?"

Mokhtaruddin Lasso saya lihat tertegun. Tetapi dia belum puashati lagi. Dia timbulkan pula masaelah lain yang berhubung dengan soal Tuhan juga.

"Orang2 Islam menyembah Tuhan yang mereka panggil Allah, katanya. Tetapi ada juga orang yang menyembah bulan, matahari dan banyak yang lain lagi. Mereka katakan benda2 ini Tuhan mereka. Bagaimanakah ini sedangkan Tuhan itu dikatakan esa, tidak dua dan tidak tiga?

Dr. Burhanuddin tersenyum dulu sebelum menjawab pertanyaan ini.

"Ada orang yang memanggil kasut itu kasut tetapi ada pula yang memanggilnya sepatu, dia menjawab. Tetapi bukankah ‘kasut’ dan ‘sepatu’ itu benda yang satu itu juga? Begitulah pula dengan Tuhan ini. Ada yang memanggilnya Allah, ada yang memanggilnya God, ada yang memanggilnya Tok Pekong, ada yang memanggilnya Sami, ada yang bertuhankan Bulan, Matahari dan entah apa lagi. Itu soal bahasa dan istilah seperti ‘kasut’ dan ‘sepatu’ tadi. Panggilannya saja yang banyak tetapi bendanya tetap yang satu itu juga. Ertinya Tuhan itu memang esa."

"Dan kalau saudara masih meragukan adanya Tuhan", tambah Dr. Burhanuddin lagi (dan kini seperti hendak mengajar Mokhtaruddin pula) "maka hujah saudara tadi itu dapat saya kembalikan untuk menikam saudara kembali."

"Bagaimana?", Mokhtaruddin bertanya.

"Bukankah saudara mengatakan tadi ada orang yang mengatakan bulan itu Tuhan, matahari itu Tuhan, Allah itu Tuhan dan seterusnya — masing2 ada Tuhan yang disembahnya?"

Mokhtaruddin menganggukkan kepalanya.

"Dan komunis pun perchayakan ‘nature’ kan?"

Mokhtaruddin menganggukkan kepalanya lagi.

"Tidakkah itu menunjukkan setiap orang perchayakan adanya Tuhan karena tidak ada orang yang mengatakan tidak ada? Ya, Tuhan itu ada dan esa."

Dr. Burhanuddin tersenyum lebar sambil memandang tepat kemuka Mokhtaruddin Lasso, menantikan reaksinya.

Mokhtaruddin mengangkat kedua-dua belah tangannya keatas dan berkata: "Chukuplah setakat itu saja tuan Doktor dan kita kira seri — tak kalah tak menang".

"Saya mengikut saja", meningkah Dr. Burhanuddin. "Kalau chukup kata saudara chukuplah, kalau tak chukup ayoh lagi."

Perdebatan itu berhenti setakat itu saja.


Itulah ceritanya. Walaupun menyedari Mokhtaruddin seorang Melayu atheis, Dr. Burhanuddin tidak menilai atau menghukum Mokhtaruddin dengan kata-kata kesat atau dengan caci-maki. Walaupun berbeza kepercayaan, mereka boleh menerima dan menghormati perbezaan. Mereka boleh duduk berbincang dan berbicara dengan rasional tentang isu agama. Cuba bandingkan jawapan tenang daripada Dr. Burhanuddin dengan komen-komen yang kita baca di Twitter & Facebook sekarang.

Kalau Mokhtaruddin Lasso masih hidup di zaman sekarang sudah pasti dia kena kecam dan kena bash oleh anak-anak muda Melayu "para fanatik agama" (meminjam kata-kata Ahmad Boestamam) di Twitter & Facebook yang pandai menilai dan menghukum orang lain dengan kata-kata penuh adab sopan yang mencerminkan nilai-nilai Islam.
Previous
Next Post »