Pendirian saya terhadap Sejarah Tanah Air - Ahmad Adam.

“Pendirian saya terhadap Sejarah Tanah Air”

Oleh : Ahmat Adam

“Mengapakah saya selalu berbeza pendapat dengan setengah-setengah sejarawan tempatan?” Demikian soalan yang pernah ditanyakan kepada saya oleh seorang wartawan.


1. Mungkin penyoal soalan di atas mempunyai tanggapan sedemikian justeru kerana saya sering mempersoalkan kejituan sesuatu pendapat oleh rakan-rakan sejarawan lain mengenai sejarah tanah air. Misalnya, saya mempersoalkan kesahihan dakwaan beberapa sejarawan tempatan bahawa Melaka dibuka dalam tahun 1262. Hal ini telah saya sanggah dalam sebuah tulisan kerana ia lebih bersifat propaganda politik. Saya juga mempersoalkan sikap terlalu bergantung kepada sarjana Barat mengenai pentafsiran sejarah Malaysia.

Walaupun saya akui bahawa sarjana dan kaum Orientalis Barat telah banyak membuka mata kita tentang sejarah negara ini dan mengenai sastera dan budaya tanah air, dan kerana itu kita harus berterima kasih, tetapi saya tidak dapat menerima bulat-bulat kesemua pendapat mereka; dan justeru itu pengaruh mereka yang telah mencengkam minda kita selama berabad-abad perlu diluputkan. Caranya ialah degan membuat penyelidikan yang tekun dan mendalam untuk membuktikan bahawa kita tersilap menjadi “Pak Turut” mereka. Pengalaman saya bergaul dengan rakan-rakan sarjana dari Barat mengajar saya bahawa kita harus berani mempersoalkan kenapa orang asing yang tidak pun tahu tulisan Jawi kita dengan lancar, bahasa kita dengan fasih, agama kita dengan betul, boleh membuat teori dan tafsiran mengenai sejarah, sastera, budaya, dan bahkan aspek-aspek agama kita.

Soalan yang kedua : “Di manakah saya menerima pendedahan kepada pembelajaran ilmu sejarah?”

2. Saya terlatih di Universiti Malaya pada awalnya (1967-1970) dalam bidang Sejarah dan Pengajian Melayu. Semasa menjadi mahasiswa saya juga berkesempatan mempelajari bahasa Sanskrit dan kesusasteraan Sanskrit yang sangat memberi faedah pada zaman kematangan usia saya. Tetapi kaedah dan pendekatan ilmu sejarah yang bersifat lebih kritis saya peroleh ketika belajar di School of Oriental & African Studies, University of London sewaktu menjadi murid kepada, antara lain, C. D. Cowan (“19th Century Malaya”), John Bastin (“The British in West Sumatra, 1685 – 1825”), M. C. Ricklefs (“Modern Javanese Historical Tradition”), dan Ruth Mcvey (“The Rise of Indonesian Communiasm”). Yang terakhir merupakan guru sejarah politik yang membimbing saya untuk menulis sebuah tesis ‘doctoral’ tentang ‘press’ anak negeri dan pertumbuhan nasionalisme di Indonesia.

Menjadi murid kepada orang-orang ini bukan bererti saya diasuh untuk menjadi pak turut kepada pandangan mereka. Saya sebaliknya sedar bahawa pendedahan yang saya peroleh banyak membentuk sikap kritis saya terhadap banyak perkara.

Soalan yang ketiga : “Mengapakah saya berbeza pendekatan mengenai historiografi?”

3. Pergeseran akademik yang saya alami dengan beberapa orang sejarawan tempatan (yakni bukan semuanya) ialah sikap mereka yang terlalu emosional dan ada kalanya mencampur adukkan sejarah dengan politik cauvinis; bahkan ada yang sanggup mendambakan diri kepada kepentingan orang politik. Saya percaya ilmu sejarah menuntut sejarawan bersikap bebas dalam sebarang tindakan intelektual. Membenamkan kebebasan intelektual bererti melumpuhkan daya kreatif mencipta dan ini akan merugikan nasion ini.

Soalan yang keempat : Mengapakah Sejarah, berbanding mitologi, mempunyai sifatnya yang tersendiri sebagai ilmu?

4. Saya fikir ramai orang terkeliru dengan takrif dan erti sejarah dan beza ilmu sejarah dengan mitologi. Seperti yang saya seringkali ungkapkan, sesuatu yang menepati pengertian sejarah haruslah berasaskan bukti. Bukti itu boleh bersifat dokumen arkib, batu bersurat atau inskripsi, wang logam, penemuan arkeologi, tugu atau monumen, bahkan batu nisan yang mempunyai tarikh yang sahih. Sehingga kini tiada apa-apa bukti pun untuk menunjukkan bahawa manusia bernama “Hang Tuah” [ sic ] itu wujud pada abad ke15 dan 16. Mereka yang tidak faham sejarah sering mendakwa sumber seperti “Sejarah Melayu” (“Sulalat u’s-Salatin”) dan “Hikayat Hang Tuah” [sic, Hikayat Hang Tuha] adalah bukti kuat untuk menyatakan Hang Tuah [sic] itu wujud. Tetapi soal yang tidak pernah ditanyakan dan dijawab dengan jujur ialah: Apakah “Sejarah Melayu” dan “Hikayat Hang Tuha” itu karya sejarah? “Hikayat Hang Tuha” bukanlah karya sejarah. Ia adalah karya sastera yang sangat indah dan tidak dinafikan pengaruhnya dari segi menyebarkan kisah wira yang dimitoskan itu memang sangat besar. Tetapi episod yang dimuatkan di dalam hikayat itu adalah berupa jiplakan daripada karya lain, terutamanya daripada “Sejarah Melayu”. Kisah-kisahnya pun berupa dongeng atau mitos belaka.

“Sejarah Melayu” memang ada unsur-unsur sejarahnya, seperti terdapatnya beberapa nama raja Melaka yang ada kebenaran sejarahnya. Sistem tata negara (polity) Melayu tradisional pun dapat dipelajari daripada karya klasik Melayu itu. Tetapi ia tidak lebih daripada sebuah karya sastera sejarah sahaja. Bahkan lebih tepat lagi jika dikatakan “Sejarah Melayu” atau “Sulalat u’sSalatin” itu adalah sebuah karya agung kesusasteraan Melayu. Dalam kedua-dua karya klasik Melayu itu hulubalang yang digelar dalam huruf Jawi sebagai /h/ng/ /t/w/h/ [ توه ] itu sewajarnya dibaca: “Hang Tuha”. “Tuha” ialah perkataan Melayu Kuno dan Jawa Kuno yang membawa erti ketua yang cekap, pemimpin yang terampil. Jika /h/ng/ /t/w/h/ [ توه ھڠ] dibaca sebagai “Hang Toh” maka ia membawa makna orang pandai yang menjadi taruhan atau sandaran. “Toh” itu bererti petaruh atau taruhan seperti seorang yang menjadi harapan raja.

Adat pantang larang orang Melayu dan bangsa rumpun Melayu di Nusantara pada zaman dahulu (sebelum masuknya permodenan) yang tidak mengizinkan nama seseorang hulubalang atau pembesar disebutkan. Contohnya nama Panglima Kinta Datuk Jabor, Datuk Maharaja Lela, Datuk Panglima Bukit Gantang, Datuk Perpatih Nan Sebatang, Datuk Sikeude (gelaran Aceh) , Datuk Bendahara Tepok, Laksamana Datuk Panjang – semuanya berupa nama gelar sahaja. Pantangan menyebut nama ini bersesuaian dengan cara berfikir masyarakat dahulu kala yang berasaskan kepercayaan kepada semangat (animisme). Nama seseorang pembesar atau hulubalang besar itu dipakai hanya sebelum dia mempunyai gelar. Oleh yang demikian, tidak mungkin mana-mana hulubalang diketahui namanya, kecuali gelarnya.

Oleh kerana Laksamana Melaka itu memang sah kewujudannya dalam sejarah Melaka, maka gelarnya ialah Hang Tuha (yang bererti Sang Ketua yang trampil) atau Hang Toh (yang bermaksud orang taruhan atau yang dijadikan sandaran dalam satu-satu pertandingan, perlawanan atau pertempuran). Kita tidak akan mungkin mengetahui nama sebenarnya. Tetapi Laksamana Melaka itu. dan seorang lagi hulubalang Melaka yang tidak diketahui namanya, iaitu Seri Bija Adiraja, tetap menjadi wira Melayu yang sebenar.

Soalan yang kelima : “Apakah cabaran dalam sejarah yang perlu dihadapi oleh orang Melayu?”

5. Orang Melayu mestilah menghadapi dunia moden yang serba mencabar ini dengan berpegang kepada kebenaran dan ketelusan sebagai asas kehidupan hariannya. Dan ini bererti langkah permulaannya ialah sejarah tanah air orang Melayu itu sendiri perlu “dibersihkan” daripada tahyul, dongeng dan apa jua bentuk mitos. Janganlah sekali-kali menganggap mitos sebagai sejarah kerana bangsa yang beradab tidak pernah menganggap mitos sebagai sejarah. Cerita-cerita rakyat dan dongeng bangsa Greek tidak pernah dianggap oleh bangsa tersebut sebagai sejarahnya.

Soalan yang keenam: “Mengapakah saya mengakatakan tarikh batu bersurat yang diyakini orang Maaysia dan kaum sarjana selama ini sebetulnya silap?

6. Mengenai mengapa saya berkata tarikh baru batu berusurat Terengganu yang betul ialah 708 Hijrah atau 1308 Masihi, saya memperolehnya berdasarkan penyelidikan saya yang teliti. Ada beberapa istilah Kawi, Jawa Tengahan, Sanskrit, dan Melayu Kuno yang tidak ditonjolkan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu – bukan Prof. Tan Sri Syed Naquib Alatas seorang – seperti perkataan adi pratama, nang, uwarang, pada (kata Sanskrit yang bererti syurga), saratan (bukan syaratan seperti yang dianjur oleh Tan Sri Syed Naquib), meraksa (istilah Kawi dan Melayu Kuno), ko (bukan “ku” tetapi “kau”), inger dan banyak lagi yang tersilap dibaca oleh pengkaji terdahulu sejak tahun 1924. Saya sendiri pun pada mulanya tersilap apabila turut membaca ejaan /ta/ta/waw/alif/ [ تتوا ] di permukaan batu sisi C sebagai “tetua” (yakni orang tua-tua) seperti mana yang dibaca oleh Prof. Syed Naquib. Sebetulnya ejaan /ta/ta/waw/alif/ [ تتوا ] itu wajib dibaca “tatwa” iaitu kata Jawa Kuno yang membawa erti sesungguhnya, sebenarnya, atau kenyataan. Kata ini berasal daripada kata Sanskrit “tattwa” (atau dieja ‘tattva’).

Seyogia diingati, pada awal abad ke-14 Terengganu adalah salah sebuah daripada mandalika atau koloni kerajaan Jawa Timur di Semenanjung Melayu (bermula pada zaman Singhasari dan sampai munculnya Majapahit). Dalam kajian yang telah saya laksanakan, saya menemui sistem kalendar terawal di Nusantara yang merupakan takwim yang berasaskan putaran kumpulan 8 tahun sebelum orang Jawa memberi nama “windu” dalam sistem kalendarnya. Ungkapan adi pratama adalah merujuk kepada pusingan pertama dalam sistem yang kemudiannya dikenali sebagai sistem “windu” di Jawa yang berdasarkan kitaran atau siklus delapan tahun. Sistem putaran delapan tahun ini pun mempunyai empat pusingan pula yang menjadikan jumlahnya 32 tahun. Tetapi setiap 8 tahun itu adalah satu siklus atau kemudiannya di Jawa disebut satu “windu”. Dengan berdasarkan pengiraan tahun dalam lapan pusingan itu saya mendapati tarikh 708 H (1308 M.), iaitu bersamaan dengan tahun “Pausa” Hindu yang sejajar dengan tahun 1230 Saka Jawa, jatuh dalam siklus adi pratama itu. Tetapi tahun 702 Hijrah/1303 Masihi (tahun yang diusulkan Prof Syed Naquib) lantaran ia bersamaan dengan tahun Saka 1224 jatuh dalam siklus “Sangara” iaitu siklus yang ketiga dalam sistem kalendar Jawa. Oleh kerana batu bersurat itu menyebut “Adi pratama adi Jumaat” maka tidak mugkinlah tahun 702 Hijrah betul.

Tentang menamakan sesuatu tahun berdasarkan seekor ‘binatang’, ini adalah pengaruh daripada budaya Jawa dan juga Siam yang juga mempunyai tahun-tahun yang bernama haiwan dalam sistem kalendar mereka. Kata “Saratan” dalam bahasa Arab selengkapnya ialah “saratan al-bahri” yakni dalam bahasa Melayunya disebut tahun Udang Kara. Kebetulan tahun Udang Kara dalam kalendar Jawa jatuh dalam lingkugan tahun Adi. Selama ini kajian terhadap batu bersurat Terengganu tidak menyentuh sistem kalendar yang tampaknya banyak dipengaruhi oleh Jawa.

Soalan yang ketujuh : “Dalam pengkajian Sejarah Malaysia, apakah masalah utama yang dihadapi masyarakat Malaysia masa kini?”

7. Masalah besar yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia pada masa kini ialah kajian mengenai sejarah tanah air masih berasaskan perkauman. Sangat sedikit sarjana bukan Melayu yang berminat untuk mengkaji sejarah purba negara Malaysia. Dalam kalangan sarjana Melayu pun amat kurang bilangannya yang berminat bukan sahaja dalam sejarah tua tanah air, tetapi juga dalam bidang kesusasteraan dan kebudayaan Melayu lama sendiri. Apabila saya menimbulkan budaya pantang menyebut nama (‘tabooed names’) yang menyebabkan tidak mungkin Laksmana Melaka diketahui namanya, ramai yang bergelar ‘sarjana’ tidak percaya bahawa pantang larang menyebut nama adalah sebahagian daripada budaya yang berasaskan kepada kepercayaan terhadap “semangat” atau roh yang menghuni pada setiap benda dalam alam samada yang berbentuk pejal atau cair --- yang mewarnai pemikiran orang Melayu zaman dahulu. Ramai pula yang tidak pernah mendengar nama pengarang jauh sekali membaca karya seperti “The Golden Bough” dan “Taboo and the Perils of the Soul” oleh James Frazer dan “Malay Magic” oleh William Skeat. Pengalaman saya apabila menyuarakan betapa bahasa Jawa Kuno amat besar pengaruhnya terhadap bahasa dan kesusasteraan Melayu lama, seperti “Sejarah Melayu” dan “Hikayat Hang Tuha” misalnya, mereka yang bergelar sarjana itu langsung tidak boleh menerimanya dan jelas tidak mahu menyelidiki isu yang dibangkitkan itu.

Ada sarjana yang meneliti khusus tentang cerita-cerita Panji pun melahirkan rasa tidak senangnya apabila saya katakan peranan cerita Panji dalam mempengaruhi sastera Melayu lama tidak boleh diremehkan. Rupa-rupanya sarjana ini memang tidak pernah menyelidiki pengaruh cerita Panji terhadap sastera Melayu lama sekali pun dia mendakwa menjadi pakar cerita Panji!

Soalan yang kelapan : “Bagaimanakah generasi muda Malaysia, khususnya golongan inteligensianya, boleh mengatasi persoalan ketandusan ilmu dalam pembelajaran dan pengembagan sejarah tanah air?”

8. Untuk generasi muda Malaysia dewasa ini, baik dari kalangan bijak pandai Melayu, mahupun bukan Melayu, suka saya mengingatkan sekali lagi, bahawa anak kunci bagi mengatasi banyak masalah tentang ilmu ialah dengan bergiat dan berusaha memperluaskan pembacaan, bukan sahaja dalam bidang pengkhususan sendiri tetapi juga dalam bidang-bidang pengetahuan lain, terutamanya yang ada kaitannya dengan disiplin ilmu masing-masing. Pembelajaran dan pengembangan sejarah tanah air mestilah tidak didorong oleh kepentingan kaum sendiri tetapi kepentingan memelihara warisan sejarah Malaysia.

WalLahua’lam.
Previous
Next Post »