The Patriots, Sistem Beraja Dan Hatersnya. - Sahul HM.

Oleh : Sahul HM

LAMAN PATRIOT, SISTEM BERAJA DAN "HATERSNYA."

 
Saya fikir saya harus menulis tentang hal ini. Sejak dua tiga hari kebelakangan ini tular di fb beberapa tulisan berkaitan keruntuhan sistem beraja di Sumatera dan pembantaian raja dan pembesar pada Mac 1946.


Sejujurnya saya katakan, sepertinya ini cubaan untuk menakut-nakutkan dan manghasut pembaca untuk mempercayai bahawa pertukaran kerajaan baharu bakal membawa padah yang sama di Malaysia. Sebagai pelajar sejarah saya tertarik untuk membawa pandangan saya berpandukan fakta sebenar, bukan tafsiran yang bersandarkan emosi dan sentimen.


Percubaan kumpulan ini saya sifatkan anakronisme. Peristiwa sejarah yang tidak berkait secara langsung dengan fenomena dalam negara kita, tetapi cuba disamakan.
Kepada page Patriot, suka saya mencadangkan supaya bersikap jujur dalam menulis sejarah kerana sejarah bisa mencetuskan revolusi tanpa pemahaman sebenar.

Latar peristiwa di Tanjung Balai dan Brastagi tidak sama dengan keadaan yang wujud di Malaysia. Para raja dan pembesar di tempat tersebut menjadi kolaborator Belanda dalam menzalimi masyarakat Melayu. Pembesar-pembesarnya ada yang berkahwin dengan wanita Belanda, menjalani hidup sebagai golongan aristokrat, berjauhan dengan rakyat yang menderita di bawah dasar Belanda yang menekan.

Bukanlah niat saya untuk menghalalkan dan mewajarkan peristiwa tersebut. Ia tetap terkutuk. Tiada manusia waras yang dapat bersetuju dengan pembunuhan manusia lain di luar undang-undang. Namun, saya tekankan di sini bahawa tulisan di Patriot tersebut menyuntik kemarahan kepada pembaca pada dua keadaan yang berbeda sebab dan akibatnya. Jangan terlalu simplistik dalam menilai sejarah. Ia punya "autonomy of past."

Walau bagaimanapun, segala hinaan dan cacian terhadap institusi beraja, dengan YDPA di puncaknya, kita kecam dan tolak sekeras-kerasnya. Tetapi untuk menyamakannya dengan hal yang berlaku di Sumatera, saya fikir dangkal hujahnya. Suka saya mengingatkan kepada para "haters" institusi beraja juga, anda masih hidup bahagia dan menikmati sekolah vernakular misalnya juga adalah kerana kewujudan institusi beraja ini. Sehubungan itu, saya cadangkan kepada kedua-duanya, Patriot dan para "haters" untuk menghayati teks ucapan titah Sultan Perak di Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara pada Ogos 2017. Baca, nilai dan hadamkan. Sistem beraja yang wujud ini bukan hanya pelindung kepada orang Melayu, tetapi kepada seluruh warganegara Malaysia.

Ingat, konsep beraja ini bukan hanya wujud dalam pemikiran bangsa Melayu sahaja, ia juga tidaklah asing kepada bangsa Cina, India dan suku kaum di Borneo. Semua bangsa di Malaysia pernah melalui keadaan di bawah sistem beraja, namun masa dan tempat yang berbeda membawa kepada peristiwa dan natijah yang berbeda. Jangan generalisasikannya...

Sebagai bacaan tambahan, sila rujuk tulisan berikut untuk pencerahan:

1. Anthony Reid, The Blood of the People...1979.
2. Adrian Vickers, A History of Modern Indonesia, 2013.
3. Audrey R. Kahin, 1927 Communist Uprising, 1996.
Previous
Next Post »