Sedihnya Bila Sesetengah Rakyat Malaysia Anggap Komunis Pejuang Kemerdekaan Negara - Syed Fairus.

Oleh : Syed Fairus
 

Sepanjang perkhidmatan Abah saya dalam Tentera Darat Malaysia (dari tahun 1972 hingga 1993), beliau telah terlibat dalam beberapa siri operasi insurgensi Pengganas Komunis. Antaranya di Lundu, Sarawak dan Gubir, Kedah. 

Walaubagaimanapun, salah satu operasi di Gubir mendatangkan kesan mendalam kepada beliau, berkekalan sehingga ke saat ini, di mana beliau telahpun lama bersara dari perkhidmatan.



Ketika itu kawasan Gubir masilh lagi ditandakan di dalam peta Malaysia sebagai salah satu kawasan merah di mana aktiviti Komunis sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Menjelang waktu senja, platun Abah saya seramai hanya 5 orang telah sampai ke "highest observational/recce coordinate". Aktiviti pada hari tersebut ditamatkan memandangkan hari sudah malam dan arahan dari markas mengarahkan supaya mereka supaya "hold pattern until further instructions and observe".

Di dalam kegelapan hutan, Abah dan rakan-rakan platun di satu puncak topografi terpandang sebutir cahaya dari jauh. Setelah disemak pada peta, sebutir cahaya itu rupanya adalah bandar Georgetown, Pulau Pinang. Rupanya dari hutan, bandar Georgetown hanya kelihatan begitu kecil sebesar butir cahaya.

Abah saya sambil selamba mengatakan bahawa kepada anggota yang lain, kita bertugas di hutan, meninggalkan anak bini di rumah untuk memastikan keselamatan sebutir cahaya tersebut dari pengganas Komunis, agar cahaya tersebut dan juga cahaya-cahaya yang bertaburan di seluruh Bumi Malaysia ini kekal bercahaya sebagai tempat yang selamat dari ancaman untuk terus diduduki rakyat Malaysia.

Tetapi, beliau menitiskan air mata sebaik sahaja beliau bersara dari Tentera dan menjadi orang awam. Saya tanya mengapa sampai begitu hiba...

Beliau mengatakan, "Abah rasa sungguh sedih, kerana dalam sebutir cahaya yang Abah dan kawan-kawan jaga selama ini, adalah jauh indah khabar dari rupa.."

"Rupa-rupanya, dalam sebutir cahaya itu, dan butir-butir cahaya yang lain terdapat terlalu ramai manusia yang tidak bersyukur, dan langsung tidak berterima kasih di atas pengorbanan kami sebagai Tentera dalam menjaga keamanaan negara....Abah hanya tahu selepas Abah menjadi orang awam dan melihat sendiri di depan mata..."


Dan saya rasa, pada pagi esok, 31 Julai 2018 yang merupakan Hari Pahlawan, Abah saya akan bertambah sedih dan hampa kerana kini, pengganas Komunis sudah dianggap sesetengah rakyat sebagai Pejuang Negara!!!

Apakah makna pengorbanan anggota Tentera dan keluarga mereka selama ini diperlekehkan dan dihina? Adakah keamaan yang anda kecapi selama ini hanya datang bergolek begitu sahaja?

Catatan pengalaman Abah saya ini ditujukan khas untuk semua anggota Tentera, khususnya kepada mantan-mantan Pahlawan Negara yang telah mendedikasikan masa muda belia mereka, ketika mereka berkeringat gagah perkasa menjaga keamaan anda dan keturunan anda sebelum dan selepasnya.

Kini, kesemua pahlawan ini sudah senja usianya. Abah saya sudah menghampiri usia 70-an. Ada kawan-kawan lain yang sudah sakit, gering dan sudah meninggal dunia.

Hargailah mereka. Hormati perjuangan mereka, Kerana tanpa mereka, anda dan keturunan anda tak tahulah entah ke mana dalam bumi Malaysia ini.

Selamat Menyambut Hari Pahlawan kepada semua Pahlawan Negara. Al Fatihah kepada pahlawan yang telah gugur mempertahankan negara, dan mengekalkan semangat perjuangan sehingga menutup mata...

Gempur Wira!
Sedihnya Bila Sesetengah Rakyat Malaysia Anggap Komunis Pejuang Kemerdekaan Negara - Syed Fairus. Sedihnya Bila Sesetengah Rakyat Malaysia Anggap Komunis Pejuang Kemerdekaan Negara - Syed Fairus. Reviewed by Ameno World on Tuesday, July 31, 2018 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.