12 Sebab Kenapa Anda Perlu Tonton ONE TWO JAGA.

Oleh : Movie Addict Malaysia

Filem terbaru arahan Nam Ron ini menceritakan titik temu manusia dalam sisi gelap ibu kota di mana korupsi, rasuah, dan jenayah menjadi santapan segelintir pihak berkuasa. Ia turut menampilkan bintang-bintang hebat Malaysia dan Indonesia seperti Zahiril Adzim, Ario Bayu, Asmara Abigail, Rosdeen Suboh, Azman Hassan dan ramai lagi.



 
Jom kita ketahui 12 sebab kenapa anda perlu menonton ONE TWO JAGA

1) Nam Ron dan pasukannya mendapat perhatian penting di Festival Filem Shanghai, Itali, dan New York.

Filem ini terpilih buat kali pertama untuk malam pembukaan Udine Far East Film Festival Filem yang ke-20, Itali. Filem ini kemudiannya menyertai minggu One Belt One Road di Shanghai International Film Festival yang ke-21 di China sebelum dicalonkan dalam kategori 'Best Movie Scenes' di New York Asian Film Festival yang ke-17 di Amerika Syarikat. Respons penonton di festival-festival tersebut amat memberangsangkan.

Jarang filem tempatan dapat penghargaan yang besar seperti ini, lagi-lagi sebelum ianya ditayangkan disini. Jadi, ini merupakan indikasi terbesar yang filem ini bukan filem biasa-biasa.

2) Penerbit akhirnya sudi kongsikan filem ini kepada seluruh peminat filem tempatan.

Filem ini pada asalnya hanya dirancang untuk ditayangkan di festival filem sahaja. Ini bermakna sebelum ini, satu-satunya cara yang kita sebagai penonton hanyalah menerusi festival filem sahaja.

Pihak penerbit kemudiannya mengubah fikiran dan membuat keputusan untuk menayangkan filem ini di negara kita. Nasib baik mereka berubah fikiran. Kalau tak, kenalah kita melancong hingga ke New York ataupun Itali semata-mata nak tonton naskhah ini.

3) Filem ini hampir-hampir cari pasal dengan pihak berkuasa.

Menurut Bront Palarae, bahagian produksi terpaksa melawat Pejabat Polis Bukit Aman sebanyak 5 kali semata-mata mahu mendapat pelepasan dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pada mulanya, pihak berkuasa tidak membenarkan mereka menerbitkan filem ini.

Walaubagaimanapun, bahagian produksi tetap menjemput pihak berkuasa untuk berbincang dengan lebih lanjut tentang apa yang boleh dibuat untuk mewujudkan filem ini. Akhirnya atas perbincangan dua hala dan visi mereka berjaya dipersembahkan, pihak PDRM bersetuju dan memberi kebenaran untuk menghasilkan filem ini.

4) Lakonan berkesan bintang Indonesia, Ario Bayu buat kita lupakan Aamir Khan.

Watak pekerja asing Indonesia, Sugiman didukungi pelakon hebat Indonesia, Ario Bayu. Sugiman berusaha untuk membawa adiknya, Sumiyati (lakonan Asmara Abigail) keluar dari negara ini.

Lakonan yang ditonjolkannya di dalam filem ini sangat berkesan, membuatkan kita boleh melupakan lakonan meyakinkan Amir Khan. Ekpresi wajah yang dipamerkan berjaya menyampaikan pelbagai emosi tanpa perlu untuk menzahirkannya secara lisan.

5) Kawan-kawan Nam Ron tolong jayakan filem sampai anda tak senang duduk.

Di samping Nam Ron, dia juga ditemani pelakon-pelakon lain yang biasa muncul dalam filem arahannya. Zahiril Adzim memegang watak Hussein, Amerul Affendi sebagai Adi selain pelakon veteran Chew Kin Wah sebagai James.

Di sini nampak kesungguhan mereka kerana sudah biasa berlakon bersama. Babak yang menemukan Hussein dan Adi antara yang menarik perhatian. Pertukaran dialog antara mereka menunjukkan 'chemistry' yang lama terbina sekaligus menjadikan naskhah ini sebuah kritikan yang padu kepada sistem keadilan di negara ini.

6) Produksi berjaya mencukupkan dana penerbitan dengan usaha penuh gigih.

Oleh kerana filem ini memerlukan dana RM2 juta, mereka dibantu dengan barisan penerbit eksekutif yang ramai. Kesungguhan dalam merealisasikan filem ini membuktikan betapa seriusnya dan pentingnya filem ini bagi mereka kepada rakyat Malaysia.

Disebabkan itu, mereka menerbitkan treler yang mungkin korang dah lama tonton di internet dalam usaha untuk menyakinkan panel pelulus dana. Kegigihan pihak produksi ini merupakan hadiah tak ternilai buat para penonton.

7) Skor muzik yang mencengkam persis Dunkirk!.

Tony Merle dan Bemby Gusti harus diberikan pujian atas usaha mereka menambahkan emosi kepada penonton. Skor muzik mereka cukup terkenal dengan hasil padu untuk filem Pengabdi Setan karya Joko Anwar, dengan salah satunya melayakkan mereka memenangi anugerah penata muzik terbaik Festival Filem Indonesia 2017.

Selain itu, suntingan bunyi yang dilakukan Nam Ron juga berjaya mengimbangi bunyi bingit dan sunyi dengan sempurna, menjadikan filem ini begitu dramatik dan mengancam. Tidak keterlaluan untuk dikatakan yang skor filem ini layak memenangi apa-apa anugerah yang berkaitan dengan skor filem untuk tahun ini. Komposisi bunyi berjaya membuatkan penonton tidak senang duduk setiap kali babak suspens muncul.

8) Babak aksi yang berkesan biarpun tak keterlaluan.

Babak akhir filem memaparkan babak aksi dalam hujan. Bila saja korang nak tengok babak macam ini? Biasanya kita dihidangkan dengan babak menyanyi dalam hujan, ataupun berpisah dalam hujan. Babak aksi dalam hujan ini menambahkan lagi tahap dramatik filem ini. Elemen hujan membuatkan filem ini tak memerlukan sebarang letupan ataupun CGI bombastik untuk membantu aksinya nampak mengagumkan.

Menurut Zahiril Adzim, mereka pada asalnya berlatih pada waktu cuaca cerah. Jadi sewaktu menjalankan penggambaran semasa hujan, pergerakan menjadi berat dan ini menyukarkan sedikit proses koreografi mereka. Hasilnya koreografi mereka nampak agak meyakinkan, memandangkan mereka semua melakonkan sendiri aksi lasak ngeri ini.

9) Solekan kecederaan di wajah Zahiril Adzim selepas dibelasah begitu mengilukan.

Jarang berlaku dalam dunia perfileman negara, kita rasa terpegun ataupun terkesan dengan seni solekan. Ini mungkin disebabkan bahagian produksi jarang mengambil berat tentang aspek tersebut.

Walaubagaimanapun, ketelitian solekan lebam dan luka yang dijahit di muka watak Hussein lakonan Zahiril Adzim tampak sangat menjadi. Pipi lebam yang mengembung dan jahitan yang kasar begitu mengilukan dan menyebabkan penonton mampu merasakan pedih sakit yang teroaksa ditanggung beliau.

10) Tapisan perkataan mencarut menjadikan filem ini begitu mengujakan.

Skrip filem ini sebenarnya penuh dengan pelbagai variasi sumpah seranah dan perkataan mencarut. Oleh sebab itu, rata-rata babak dipenuhi dengan efek bunyi tapisan oleh Lembaga Penapis Filem bagi menutup perkara ini.

Akan tetapi, rupanya babak tersebut jadi lebih menarik berbanding bila diucapkan. Rasa cemas penuh tekanan wujud tanpa memerlukan paksaan, tetapi disogok dengan kebengangan watak yang diucapkan melalui kata-kata kesat. Jadi biarpun ditapis, ia sebenarnya lebih mengujakan.

11) Bahasa visual dan perlambangan sebagai bentuk kritikan.

Filem ini berkisarkan beberapa kisah sebenar yang dialami beberapa pekerja asing di negara ini. Cerita ini semua kemudiannya digaul dan digabungkan menjadi filem ini.

Dan seperti filem-filem hebat yang lain, filem ini direncahi dengan beberapa bahasa visual dan perlambangan yang garang dan lunak. Jelas sekali penggunaan bahasa visual dan perlambangan merupakan cara untuk menyampaikan rasa terhadap isu imigran di negara ini.

12) Hubungan antara polis veteran, Hassan dan polis baru, Hussien mengingatkan kita dengan filem Training Day dan True Detective.

Babak Hassan dan Hussein bilamana mereka berborak dalam kereta peronda mengingatkan kita dengan filem Training Day. Polis baru yang mempunyai prinsip yang teguh ditemukan dengan polis veteran yang kotor. Filem ini juga menggunakan aspek penceritaan yang semuanya berlaku dalam masa sehari, menguatkan lagi persamaannya dengan Training Day.

Sementara percanggahan idea dan falsafah pula ada persamaan dengan babak musim pertama siri TV, True Detective. Pertukaran dan konflik dialog Hassan dan Hussein yang begitu hangat dan mengujakan, persis Detektif Rustin Cohle dan Detektif Martin Hart.

Segeralah menempah tiket tontonan ONE TWO JAGA seawal mungkin bagi menzahirkan sokongan anda terhadap filem berkualiti dan menghiburkan yang berani membawa isu hangat tentang korupsi dan realiti hidup masyarakat.

ONE TWO JAGA bakal menggegarkan pawagam seluruh Malaysia bermula HARI INI, 6 September. Sebarkan berita baik ini.



Trailer ;

12 Sebab Kenapa Anda Perlu Tonton ONE TWO JAGA. 12 Sebab Kenapa Anda Perlu Tonton ONE TWO JAGA. Reviewed by Ameno World on Friday, September 07, 2018 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.