Penggerak Awal Alternatif Melayu - Flop Poppy.

Oleh : Hentak Kepala

Pada hujung 90'an hingga awal 2000's dulu, kebanyakan band-band alternatif masih tidak bersedia membawa lagu-lagu mereka ke dalam bahasa melayu. Semuanya gara-gara takut jika disamakan dengan band-band pop/rock syahdu yang sedang popular waktu itu. Apatah lagi waktu itu band seperti Spoon, New Boyz dan Spin sedang dilanda fenomena.


Meskipun beberapa band dari Indonesia sudah mula menjejakkan kaki di tanah ini, malah mendapat sambutan pula dengan muzik moden rock berbahasa melayu seperti Sheila on 7, Padi dan Gigi masih tidak meyakinkan band-band alternatif untuk mengorak langkah berani. Flop Poppy, nama yang sudah dikenali dalam scene underground adalah antara yang tekad untuk ke hadapan bagi mengorak langkah baru yang bakal merubah suasana muzik local sampai ke hari ini.

Walau pada mulanya, mereka juga sama seperti band lain yang tidak mahu terpalit dengan gaya sell out band-band melayu sedia ada, namun keputusan yang diambil tidak sia-sia. Terbitan NSR, album self-titled Flop Poppy lebih kurang tahun 2001, 'A Decade Ago' membuahkan hasil. Namun disebabkan album tersebut berbahasa inggeris, nama mereka hanya berlegar di kalangan pendengar muzik urban dan underground dan tidak disedari penggemar muzik dari arus perdana.

Langkah mereka seterusnya menghasilkan album kedua yang menggunakan bahasa melayu penuh. Langkah ini sebenarnya seiring dengan projek album berbahasa melayu dari OAG pada tahun yang sama. Sebenarnya line up Flop Poppy sendiri terlibat sebagai sessionist bagi album melayu pertama OAG - Opera Radhio Friendly.

Dan ternyata tindakan Flop Poppy ini berjaya menghasilkan revolusi dalam muzik melayu yang hingga ke hari ini kita masih terngiang-ngiang lagu-lagu pop catchy dan alternative rock ringan dari mereka. Lagu Cinta, Aku Dan Kamu, Masih dan Keliru menjadi hits dari album self-titled Flop Poppy berkenaan.

Mungkin hari ini budak-budak muda merasakan Flop Poppy hanyalah sebuah band yang tidak lebih dari band-band terkini seperti Hyper Act, Cherpen Band, dan lain-lain. Yelah, lagu cinta dengan muzik pop moden yang disulam pengaruh gaya ballad rock dari barat untuk disesuaikan dengan selera melayu hari ini.

Tapi yang membezakan Flop Poppy dan mereka adalah, Flop Poppy muncul dengan muzik sebegini di kala peminat muzik melayu sedang dilanda demam Boboy, Q-Face dan seumpamanya. Itu yang memberi markah yang tinggi buat Flop Poppy sebagai pendahulu. Waktu mula-mula dulu, aku masih ingat, Flop Poppy dikecam oleh suara-suara dari underground yang melabelkan mereka sebagai band jiwang, terutama semasa performance mereka di Rock The World.

Tapi begitulah lumrah, jika Flop Poppy terlalu mendengar suara orang lain dan hanya mengikut arus, hari ini mungkin kita tidak akan mengenali nama Flop Poppy dan entah sampai bila muzik rock leleh melayu akan menguasai jiwa anak muda pada era milenium dahulu.

Syabas buat konsert comeback dari Flop Poppy minggu lepas. Stay rock n roll Baba Andy and friends. Kita menunggu sesuatu hasil dari comeback mereka ini.
Penggerak Awal Alternatif Melayu - Flop Poppy. Penggerak Awal Alternatif Melayu - Flop Poppy. Reviewed by Ameno World on Friday, September 07, 2018 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.