Di India 4 Juta Muslim Ditindas, Di China Muslim Dilarang Berpuasa, Apa Diskriminasi Yang Melayu Malaysia Buat Pada Kamu?

ARIF ATAN | Diskriminasi apa lagi menghantui sebahagian (bukan semua) orang Cina dan India di Malaysia?

Di India, lebih 4 juta orang beragama Islam di wilayah Assam di timur laut negara itu diancam akan ditarik kewarganegaraan mereka.

Polisi pemerintahan Narendra Modi yang menindas menyebabkan mereka sedang terancam kehilangan kewarganegaraan walaupun sudah berpuluh tahun berstatus warganegara India.

Di China, dasar penindasan terang-terang mahu melenyapkan identiti etnik Uighur beragama Islam yang merupakan penduduk asal wilayah Xinjiang.

Pemerintah China yang didominasi bangsa Han telah memperkenalkan semula dasar-dasar yang bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia dan kebebasan beragama.

Kerajaan China selamba mengeluarkan arahan melarang kakitangan kerajaan berpuasa dan memakai hijab dengan tujuan beransur-ansur menggugurkan identiti Islam etnik Uighur.

Namun, masyarakat bukan Melayu di Malaysia sejak mereka berhjrah ke Tanah Melayu kurun ke-19 bebas mengamalkan kebudayaan Cina dan India.

Mereka tidak mengalami diskriminasi dan peminggiran seperti dialami jutaan rakyat India di wilayah Assam dan etnik Uighur di barat laut China itu.

Orang Cina dan India di Malaysia juga tidak dipaksa berasimilasi seperti etnik Cina di Indonesia dan masyarakat Melayu di empat wilayah selatan Thailand yang menyaksikan jutaan golongan muda Melayu Thai hari ini tidak lagi lancar berbahasa ibunda.

Kaum bukan Bumiputera di Malaysia dibenarkan mempunyai sekolah "jenis kebangsaan" berasaskan kaum masing-masing.

Akibatnya, sikap degil menolak untuk sebumbung di Sekolah Kebangsaan (SK) menjejaskan proses interaksi sosial dan pembentukan negara bangsa Malaysia dengan bukti paling ketara tidak fasih berbahasa kebangsaan selain tidak menghormati semangat kontrak sosial antara kaum tahun 1957.

Selepas 61 tahun merdeka menyaksikan generasi kaum Cina dan India lahir di Malaysia, ramai orang Melayu jadi hairan apabila mendengar orang Cina dan India fasih bercakap Melayu. Sepatutnya, yang dihairankan adalah orang bukan Melayu yang merangkak berbahasa kebangsaan. Keadaan ini bukti, bagaimana orang Melayu pula sebenarnya 'diasimilasi' oleh orang bukan Melayu. Ironi.

Mereka juga meletakkan identiti 'orang Cina' dan 'orang India' di tempat nombor satu ketika memaksa orang Melayu meletakkan identiti 'orang Malaysia' di kedudukan nombor satu.

Apabila mereka bercakap tentang kaum mereka dan memanggil Melayu sebagai pendatang, mereka dianggap bercakap atas dasar hak asasi.

Menjelang setiap kali musim pilihan raya umum menyaksikan deretan tuntutan perkauman oleh bukan Melayu terutama orang Cina yang menekan kedua-dua blok parti politik sama ada parti pemerintah mahupun pembangkang. Ini realiti tidak boleh dinafikan kerana rasisme bukan milik orang Melayu sahaja.

Orang Melayu juga kerap dituntut bertolak-ansur termasuk membuka kuota 10 peratus kepada murid bukan Melayu untuk ke MRSM sejak tahun 2002 lagi.

Sesetengah orang bukan Melayu kerap mengitar semula rasa tidak puas hati mereka dengan menganggap ruang Bumiputera dan bukan Bumiputera pada borang rasmi sebagai satu bentuk diskriminasi.

Padahal, tanpa ruang kaum itu pun kita boleh tahu mereka siapa berdasarkan nama mereka lantaran keenggaman mereka untuk berasimilasi tidak seperti Tionghoa di Indonesia.

Apabila orang Melayu bercakap tentang kepentingan kaum dan agamanya seperti diiktiraf termaktub dalam Perlembagaan, dituduh sebagai rasis dan perkauman.

Padahal, orang Cina dan India di Malaysia juga tidak mengalami diskriminasi seperti dialami kaum Melayu di Singapura pasca pemisahan dengan Semenanjung tahun 1965 lalu.

Orang bukan Melayu Malaysia malah menguasai jaringan ekonomi dan muncul sebagai maha mewah billionaire dengan jauh lebih mampu membeli hartanah di pusat bandar selain memiliki satu demi satu lot tanah di kampung-kampung Melayu.

Baca buku oleh Dr Lily Zubaidah dalam kajian akademiknya bertajuk 'Dilema Singapura: Peminggiran Politik dan Pendidikan Masyarakat Melayu' bagaimana modus operandi diskriminasi terhadap kaum Melayu Singapura.

Bekas pensyarah Universiti Sydney di Australia itu menyifatkan kerajaan Parti Tindakan Rakyat (PAP) sengaja meneruskan ideologi dan stereotaip negatif terhadap orang Melayu oleh pentadbir kolonial British dan orientalis.

Pemerintah menanam kepercayaan bahawa kelemahan intelektual orang Melayu juga dalam ekonomi dan pendidikan adalah disebabkan oleh faktor budaya dan keturunan orang Melayu sendiri.

Serentak dengan fahaman yang dinamakan sebagai 'tesis defisit budaya' itu untuk tidak membantu golongan masyarakat Melayu yang terpinggir, Dr Lily Zubaidah menulis pemerintah Singapura yang didominasi Cina itu menyatakan bahawa kaum mereka sendiri mempunyai sifat-sifat positif yang menyebabkan mereka maju.

Berbeza dengan apa dialami golongan imigran ke Tanah Melayu yang datang secara besar-besaran mulai tahun 1850-an.

Orang Cina dan India yang asalnya beramai-ramai datang ke Tanah Melayu sebagai kuli di lombong dan estet getah diperah kudrat dan dieksploitasi penjajah British sejak abad ke-19 akhirnya diberi kerakyatan pada 1957.

Sejak 61 tahun negara kita merdeka, orang Cina dan India tidak dipaksa berasimilasi dengan kebudayaan Melayu yang merupakan inti kepada tanah air ini sesuai dengan kedudukannya yang terletak di rantau maritim dipanggil Kepulauan Melayu (Malay Archipelago).

Malangnya, sikap tamak, rasis, ultra kiasu dipupuk pula oleh sesetengah pemimpin politik mereka yang menjadi wakil rakyat malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri pasca PRU-14 menyatakan mereka seolah-olah warganegara kelas kedua.

Ungkapan 'diskriminasi' diulang-ulang di sebalik desakan supaya kerajaan menerima ICERD. Hinggakan siapa sahaja yang waras termasuk Melayu penyokong Pakatan Harapan (PH) dapat mentafsirkan ICERD yang bertujuan murni di atas kertas itu hanya batu loncatan untuk agenda melenyapkan kebudayaan Melayu di negara ini.

Buktinya dapat dilihat pada kenyataan awal dua Adun Cina DAP Pahang yang menegaskan pendirian parti mereka atas semangat Deklarasi Setapak 1967 yang antara lain menolak label Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Hanya selepas dikecam majoriti orang Melayu tanpa mengira fahaman parti politik, baharu dua hari kemudiannya mereka mengeluarkan penafian bahawa tidak menulis pun mahu hapus Perkara 153 Perlembagaan. Nampak, wujud kontradik di situ?




Bak kata Mufti Perlis, Datuk Dr Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin:

“Semangat ICERD itu sebenarnya memang telah menjadi pegangan Umat Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Sepatutnya Umat Islam tidak memerlukan ICERD atau untuk berpegang dengan tujuan ICERD ini."
Di India 4 Juta Muslim Ditindas, Di China Muslim Dilarang Berpuasa, Apa Diskriminasi Yang Melayu Malaysia Buat Pada Kamu? Di India 4 Juta Muslim Ditindas, Di China Muslim Dilarang Berpuasa, Apa Diskriminasi Yang Melayu Malaysia Buat Pada Kamu? Reviewed by Ameno World on Wednesday, November 21, 2018 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.