Polis Evo 2 : Boikot Atau Tak Boikot Pilihan Anda?

Oleh : Afyan Mat Rawi 

Polis Evo 2 - Boikot atau tidak?
 
Hikmah besar kontroversi filem Polis Evo 2 ialah apabila ia mengheret sekali institusi mufti ke kancah perbincangan apabila penerbit filem berkenaan memanggil Dato’ Mufti dan beberapa tokoh agama untuk menontonnya.

Ia satu kejayaan besar bagi kumpulan yang mendesak untuk memboikot filem ini apabila pihak penerbit terpaksa mengambil jalan tersebut.



Bayangkan kalau tiada kempen boikot?

Mana mungkin penerbit merujuk filem berkenaan kepada para mufti.

Seingat saya dalam sejarah perfileman negara, inilah pertama kali mufti dirujuk sebelum tayangkan filem ke pawagam.

(Betulkan saya kalau salah. Saya bukan peminat industri hiburan dan perfileman tanah air)

Lebih menarik lagi, respon daripada tokoh-tokoh agama yang menontonnya termasuk Dato’ Mufti sendiri, memberi pandangan positif terhadap filem ini berbanding negetif.

Boleh rujuk ulasan yang diberikan di FB Dato’ Mufti Wilayah Persekutuan, FB Dr Kamilin Jamilin - Seni Hadith, FB Dr. Ustaz Rozaimi Ramle - Hadith.

Tulisan mereka antara yang sempat saya baca.

Saya memandang perkara ini dari sudut hikmah.

Kumpulan yang memboikot menjalankan peranan mereka dengan jayanya apabila kempen boikot tersebut berjaya memberi desakan dan tekanan kepada penerbit filem berkenaan.

Tidak mustahil dalam versi asal filem ini mempunyai lebih banyak babak-babak yang menyentuh sensitiviti terhadap Islam.

Lihat sahaja trailer rasmi filem ini, sedari awal babak ditonjolkan sedutan filem dengan suara dari pelakon antagonis Hasnul Rahmat yang menyebut tentang “matahari terbit dari timur”, “kiamat datang waktu malam”, “dosa diampunkan”, “Imam Husyairi”.

Tidak cukup itu, watak yang dibawa Hasnul ditonjolkan dengan berpakaian ala Taliban siap pakai serban dan baju vest kalis peluru.

Dalam trailer itu juga diakhiri dengan sedutan babak yang diucapkan oleh Hasnul;

“Kalau betul aku ahli neraka, kenapa atas takdir Tuhan, aku yang berdiri, kau yang melutut?”

Bukankah semua ini ada unsur-unsur kaitan dengan agama Islam?

Ia meresahkan para penonton dari kalangan umat Islam walaupun belum menonton filem ini sepenuhnya.

Jadi, tidak hairanlah muncul kempen untuk memboikot filem ini. Ia berjalan secara natural dan viral melalui media-media sosial. Seingat selepas viral tulisan Dr Ustaz Riduan Mohd Nor Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor yang menyeru kempen boikot ini.

Ia peringatan besar buat para penggiat seni - jangan sesekali cuba menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Apabila pihak penerbit merujuk kepada mufti selepas kempen tersebut berjalan, ia menjadi penanda aras baru terhadap industri perfileman.

Tidak mustahil filem yang ditayangkan di hadapan tokoh-tokoh agama dan Mufti tempoh hari sudah diedit dan dibuang babak dan skrip yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

Wallahua’lam. Hanya pengarah, penerbit dan krew Polis Evo 2 yang tahu hakikat sebenar.

Kalau bukan kerana kempen boikot, mana mungkin penerbit secara sukarela merujuk filem mereka kepada para mufti.

Jangan pula selepas ini para mufti dijadikan rubber-stamp sahaja. Mereka sepatutnya dirujuk sedari awal pembikinan filem, bukan selepas siap untuk ditayangkan - itu pun selepas timbul kontroversi.

Bagi kumpulan yang tetap teruskan kempen boikot sekalipun selepas Dato’ Mufti keluarkan kenyataan - silakan. Itu hak kalian. Yang penting boikot dengan hujah, bukan sekadar sentimen. Tak perlu maki mufti.

Yang tidak mahu boikot - pun tiada masalah. Boleh beli tiket untuk menonton filem berkenaan. Yang penting, bayar hutang PTPTN.

Yang penting saling hormat menghormati.

Jangan nanti ada yang mencemuh “Bukan bertambah iman pun kalau boikot”.

Harus diingat, kempen boikot ini secara tak langsung mempromosi filem ini.

Saya?

Mungkin saya akan ikut cara Mufti; selepas tonton versi penuh baru boleh bagi pandangan sama perlu boikot atau tidak.

Err.... Ada sesiapa yang ingin belanja saya tiket Polis Evo 2?

Teringat babak Polis Evo 1, janggal sangat Nora Danish cakap loghat Terengganu. Macam makan chicken chop cicah budu.
Polis Evo 2 : Boikot Atau Tak Boikot Pilihan Anda? Polis Evo 2 : Boikot Atau Tak Boikot Pilihan Anda? Reviewed by Ameno World on Tuesday, November 20, 2018 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.